MH Online

Laman Suara Rakyat

Lebih 270,000 Permohonan MyPR Diluluskan

Lebih 270,000 Permohonan MyPR Diluluskan

KUALA LUMPUR, Sebanyak 270,837 pemohonan Kad Pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR) yang dimohon sehingga 30 Jun lalu telah diluluskan kerajaan setakat ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, dalam tempoh 2015 sehingga Julai 2020 pula sebanyak 1,430 permohonan telah ditolak atas pelbagai kesalahan.

“Bagi mendapatkan kad MyPR, pemohon perlu mempunyai pasport yang sah dan mempunyai Permit Masuk yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen).

“Dasar sedia ada bagi permohonan Permit Masuk menetapkan empat kategori pemohon yang layak dipertimbangkan untuk memohon permit masuk iaitu, kategori suami kepada warganegara, kategori isteri kepada warganegara, kategori anak kandung kepada warganegara dan kategori Sistem Mata untuk warga asing sepenuhnya,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Natrah Ismail (PH-Sekijang) mengenai prosedur operasi standard (SOP) digunakan untuk permohonan pemastautin tetap Malaysia kerana terdapat banyak permohonan yang ditolak tanpa menyatakan sebab penolakan.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, permohonan permit yang ditolak adalah berdasarkan kepada SOP sedia antaranya tidak memenuhi syarat pertimbangan untuk permohonan permit masuk seperti sistem mata untuk warga asing sepenuhnya dan tempoh perkahwinan serta keberadaan pemohon yang tidak menepati kelayakan untuk kategori pasangan kepada warganegara.

Selain itu katanya, terdapat bantahan terhadap Borang Rujukan Imigresen daripada PDRM, terdapat bantahan terhadap permohonan hasil daripada pemeriksaan naziran, pemohon disenaraikan di senarai hitam Jabatan, penaja atau pemohon telah meninggal dunia, pasangan telah bercerai atau penaja telah menarik diri daripada menjadi penaja.

“Sehubungan itu, surat penolakan yang dikeluarkan oleh JIM adalah berdasarkan faktor-faktor penolakan tersebut selari dengan SOP yang ditetapkan.

“Walau bagaimanapun, sekiranya pemohon memerlukan penjelasan atas permohonan permit masuk, pemohon boleh merujuk kepada pejabat Imigresen terdekat,” katanya.