Sejumlah 20,000 murid Tahun Satu di seluruh negara menerima manfaat daripada Program UMNO Bantu Rakyat 2.0 yang dikendalikan oleh Biro Kebajikan UMNO pusat dengan peruntukan lebih RM2 juta.

Pengerusinya Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata program itu adalah antara inisiatif UMNO dalam membantu kumpulan sasaran termasuk mendaftarkan murid-murid itu dalam skim simpanan pendidikan.

“Pendekatan itu secara tidak langsung membuktikan bahawa kerajaan tidak hanya menumpukan usaha membantu golongan miskin sahaja sebaliknya turut menyampaikan bantuan pendidikan sebagai langkah persediaan masa depan dalam bidang pendidikan.

“Untuk mengubah kehidupan rakyat, kita mesti memberikan pendidikan yang terbaik kepada mereka seperti yang terkandung dalam Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat) yang memperuntukkan sejumlah besar bagi kemajuan modal insan termasuk pendidikan,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian program UMNO Bantu Rakyat 2.0 oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron di sini, hari ini.

Shamsul Anuar yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkata program itu merupakan lanjutan kepada program UMNO Bantu Rakyat 1.0 yang akan menjelajah 60 kawasan Parlimen di seluruh negara.

Sementara itu, Idris menolak dakwaan pihak tertentu bahawa parti UMNO hanya muncul turun padang membantu rakyat setiap empat tahun sekali menerusi program tersebut.

“UMNO merupakan parti yang konsisten dalam membantu rakyat dan bukannya seperti yang didakwa pihak terbabit yang mana kita hanya mendekati rakyat secara bermusim.

“Tohmahan sedemikian adalah tidak berasas dan saya berani membuktikan di sini bahawa UMNO adalah satu-satunya parti yang konsisten dalam membantu masyarakat secara berterusan dan bukannya bermusim,”katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *