Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Lawatan Tun M Ke Manila Perkukuh Hubungan Dua Hala

Lawatan Tun M Ke Manila Perkukuh Hubungan Dua Hala

KUALA LUMPUR, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengadakan perbincangan bersama Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, ke arah mengukuhkan hubungan dua hala sempena lawatan kerja tiga hari Perdana Menteri ke Manila, bermula hari ini.

Dr Mahathir akan diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking serta barisan pegawai kanan kementerian terbabit.

Perdana Menteri dan delegasi dijadual tiba di Bulwagang Kalayaan, pangkalan udara Villamor di Pasay City jam 7.50 malam semalam, waktu tempatan.

Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Filipina, Rizany Irwan Muhamad Mazlan, berkata lawatan itu turut menandakan jalinan enam dekad hubungan perdagangan dan bilateral kedua-dua negara.

Katanya, Perdana Menteri akan diberi penghormatan jamuan negara di Istana Malacanang, disusuli acara meletak kalungan bunga di Tugu Peringatan Rizal di sini, Khamis ini.

“Dr Mahathir juga akan menyampaikan ucaptama pada forum perniagaan Malaysia-Filipina yang bakal dihadiri penggerak industri kedua-dua negara,” katanya kepada media Malaysia di Manila.

Bertemakan ‘Rakan Untuk Kemajuan, Saudara Bagi Keamanan’ (Partners for Progress, Brothers for Peace), lawatan itu menandakan kunjungan pengenalan Dr Mahathir ke negara berjiran rantau Asia Tenggara sejak menerajui kepemimpinan negara sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Rizany Irwan berkata, ia adalah lawatan rasmi ketiga Dr Mahathir ke Filipina, menyusul kunjungan terdahulu pada 1987 dan 1994.

“Lawatan Perdana Menteri kali ini akan membuka peluang bagi kedua-dua pemimpin mengukuhkan hubungan bilateral dan kerjasama Malaysia dan Filipina,” katanya.

Beliau berkata, Dr Mahathir juga dijadual menemui bekas Presiden Filipina merangkap Speaker Dewan Perwakilan, Gloria Arroyo, dan Presiden Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN, Jose Ma Concepcion III.

Rizany Irwan berkata, lawatan Perdana Menteri turut membolehkan Malaysia menjelaskan dasar semasa dan pendirian kerajaan, khususnya dalam isu kepentingan bersama.

Katanya, Dr Mahathir dijadual menemui diaspora Malaysia di Filipina pada hari terakhir lawatan.

Lawatan rasmi Perdana Menteri itu amat ditunggu susulan pelaksanaan Undang-Undang Organik bagi Wilayah Autonomi Islam Bangsamoro, tahun lalu.

Pentadbiran Duterte mengiktiraf undang-undang itu pada Julai 2018, sekali gus memberi lebih autonomi bagi wilayah yang majoritinya didiami penduduk beragama Islam.

Malaysia adalah penyokong kuat Pelan Damai Mindanao dan berperanan sebagai fasilitator pihak ketiga dalam memastikan proses pelan perdamaian ke arah mewujudkan keamanan serta kestabilan di Filipina dan rantau ini.

Nilai dagangan Malaysia dengan Filipina meningkat 8.8 peratus tahun lalu, daripada AS$5.93 bilion pada 2017 kepada AS$6.45 bilion.

Filipina adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara ASEAN dan ke-15 terbesar di dunia.

Leave a Reply

Top