Enam kementerian menerima teguran punitif kerana dikesan terlibat dalam penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku atau kecuaian semasa menjalankan tugas.

Enam kementerian berkenaan adalah Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani,  Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air serta Jabatan Perdana Menteri.

Perkara itu didedahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam Sesi Bersama Media susulan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2015 Siri 2 di sini, Rabu.

Beliau berkata, sebanyak 10 teguran punitif terhadap enam kementerian berkenaan melibatkan isu pengurusan perolehan dan pengurusan projek.

“Satu teguran untuk Kementerian Dalam Negeri bagi pengurusan perolehan Jabatan Penjara, teguran untuk Kementerian Pendidikan Tinggi pula untuk pengurusan perolehan peralatan pengajaran dan pembelajaran dan dua teguran untuk Kementerian Kerja Raya bagi projek membina dan menyiapkan Pusat Latihan Polis di Mukim Pelangai, Bentong, Pahang.

“Satu teguran untuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi projek kluster tenusu, tiga teguran untuk Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bagi projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau Pantai 2 dan satu teguran untuk Jabatan Perdana Menteri bagi projek lewat jadual atau projek sakit,” kata Ali.

Selain enam kementerian, Ali berkata, lima badan berkanun dan lapan kerajaan negeri turut menerima teguran punitif.

Beliau berkata, terdapat 17 teguran punitif bagi badan berkanun Persekutuan, melibatkan 10 teguran untuk Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) (3), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (2) dan masing-masing satu teguran untuk
Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Bagi kerajaan negeri, katanya, terdapat 15 teguran punitif melibatkan dua bagi Majlis Perbandaran Bentong dan Majlis Daerah Cameron Highlands, Pahang; Majlis Daerah Baling dan Majlis Daerah Sik, Kedah (2); masing-masing tiga bagi Majlis Perbandaran Kuala Kangsar dan Majlis Daerah Selama, Perak dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Selangor dan masing-masing satu teguran untuk Majlis Daerah Tenom dan Nabawan, Sabah dan Majlis Daerah Tumpat dan Majlis Daerah Machang, Kelantan.

Menurut Ali, teguran terhadap kerajaan negeri turut termasuk satu bagi pengurusan projek pembangunan dan pembaikan sekolah agama, Negeri Sembilan dan dua bagi pengurusan syarikat MITC Bowlplex Sdn Bhd, Melaka.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *