MH Online

Laman Suara Rakyat

Laporan CEP Tidak Dapat Didedahkan

Laporan CEP Tidak Dapat Didedahkan

LANGKAWI, Laporan 100 Hari oleh Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) tidak dapat didedahkan kepada umum kerana terdapat rundingan di dalamnya belum mencapai keputusan, kata Tun Dr Mahathir Mohammad.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sedar didakwa sebagai tidak telus apabila belum dapat mendedahkan laporan itu, namun sebenarnya kebanyakan perkara di dalam laporan sudah pun didedahkan kepada umum.

“Saya tak tahu apa lagi nak cerita, (kerana) kita dah cerita semua. Ada perkara dalam rundingan yang kita tak boleh dedahkan kerana masih dirunding dan belum ada keputusan.

“Sebab itu kita mengambil masa sedikit,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Jubli Perak Permodalan Kedah Berhad dan Perasmian Hotel Adya Chenang, di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian mengulas soalan sama ada laporan CEP itu akan didedahkan kepada umum.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim semalam, meminta Dr Mahathir membentangkan Laporan 100 Hari CEP itu di Parlimen untuk dibahaskan secara terbuka.

Pengerusi CEP, Tun Daim Zainuddin juga menyokong supaya laporan CEP yang mengandungi pelbagai cadangan daripada mereka didedahkan kepada orang awam, namun menjelaskan beliau tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan itu.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir, berkata ketika ini rakyat didapati tidak lagi peduli dengan apa yang dilakukan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tetapi hakikatnya perbuatannya sebelum ini menyukarkan pemulihan negara.

“Najib meninggalkan hutang yang begitu banyak dan macam-macam lagi… terdapat kontrak yang dipersetujui didapati merugikan Malaysia dengan begitu banyak.

“Apabila kita hendak membatalkan kontrak itu, kita terpaksa membayar ganti rugi kepada kontraktor. Ini menyebabkan kos meningkat dan kewangan negara terancam,” katanya.

Dr Mahathir menegaskan, disebabkan itu kerajaan tidak dapat memberi layanan sama kepada rakyat seperti ketika Najib menjadi Perdana Menteri.

“Kita tidak dapat beri duit percuma kepada rakyat… dahulu dia (Najib) guna duit curi.

“Kerajaan (ketika) ini bukan kleptokrat, kami bukan pencuri dan kami tidak guna duit rakyat,” katanya.