Anda di sini!
Utama > Sukan > Lapan Juara Rebut Gelaran Olahragawan & Olahragawati Kebangsaan

Lapan Juara Rebut Gelaran Olahragawan & Olahragawati Kebangsaan

Lapan juara dunia berentap bagi merebut gelaran berprestij Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2017 pada Majlis Anugerah Sukan Negara yang akan diadakan 13 Mac ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Datuk Lokman Hakim Ali berkata persaingan untuk merebut hadiah utama agak sengit berikutan prestasi cemerlang atlet khususnya di peringkat dunia serta dua temasya Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN (KL2017).

Katanya kebanyakan atlet menunjukkan prestasi baik dan cemerlang di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) sehingga muncul juara Sukan SEA dengan kutipan 145 pingat emas yang menjadi sejarah buat kontinjen negara di samping kejayaan lapan atlet bergelar jaguh dunia.

“Kriteria utama adalah prestasi mereka di kejohanan dunia dan sejauh mana mereka konsisten dalam setiap pertandingan disertai pada 2017.

“Antara nama dicalonkan adalah Mohd Azizulhasni Awang (berbasikal), Wong Weng Son (wushu), Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly (olahraga para), Cheah Liek Hou (badminton para), S. Sivasangari (skuasy), Cheong Jun Hoong (terjun), Fatehah Mustapa (berbasikal) dan Koi Sie Yan (gimrama),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2017 di MSN, Bukit Jalil pada selasa.

Lokman Ali berkata 83 pencalonan diterima dalam 11 kategori yang dipertandingkan membabitkan peningkatan ketara dalam dua kategori utama.

“Tahun ini jumlah pencalonan meningkat iaitu sebanyak 17 pencalonan bagi Anugerah Olahragawan Kebangsaan manakala Anugerah Olahragawati Kebangsaan 15 pencalonan.

“Oleh kerana pencalonan bagi kategori utama meningkat, pihak jawatankuasa bersetuju menambah jumlah senarai pendek sebanyak lapan calon untuk olahragawan manakala enam calon olahragawati kebangsaan.

“Ada juga pencalonan berulang tapi siapa pemenangnya…berulang atau tidak, kita tunggu dan lihat keputusannya nanti,” katanya.

Menurut Lokman Ali, Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan berangkat dan menyampaikan dua anugerah utama pada Majlis Anugerah Sukan Negara itu.

Majlis berkenaan akan turut disiarkan secara langsung menerusi RTM bermula 9.30 malam.

Selain anugerah olahragawan dan olahragawati kebangsaan, anugerah akan diberikan kepada olahragawan dan olahragawati para, pasukan lelaki dan wanita kebangsaan, jurulatih lelaki dan wanita, anugerah tokoh sukan, anugerah kepimpinan sukan dan anugerah khas.

Anugerah Sukan Negara yang diperkenalkan pada 1966 adalah anugerah tertinggi kerajaan bagi mengiktiraf kejayaan cemerlang sepanjang tahun yang dicapai oleh atlet, jurulatih, pegawai dan pertubuhan sukan tanah air.

Anugerah itu juga sebagai dorongan dan motivasi kepada penggiat sukan negara untuk sentiasa mempertingkatkan mutu dan prestasi mereka dari semasa ke semasa. Anugerah berprestij itu sentiasa menjadi kebanggaan bukan sahaja kepada pemenang bahkan kepada seluruh warga sukan negara.

CALON AKHIR OLAHRAGAWAN KEBANGSAAN:

1. Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah (Bina Badan)

2. Muhammad Hakimi Ismail (Olahraga)

3. Mohd Azizulhasni Awang (Berbasikal)

4. Gavin Kyle Green (Golf)

5. Mohd Fitri Saari (Hoki)

6. Mohamad Rafiq Ismail (Tenpin Boling)

7. Wong Weng Son (Wushu)

8. Khairul Hafiz Jantan (Olahraga)

CALON AKHIR OLAHRAGAWATI KEBANGSAAN:

1. S. Sivasangari (Skuasy)

2. Koi Sie Yan (Gimrama)

3. Fatehah Mustapa (Berbasikal)

4. Emma Firyani Saroji (Boling Padang)

5. Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (Tenpin Boling)

6. Cheong Jun Hoong (Terjun)

Leave a Reply

Top