MH Online

Laman Suara Rakyat

Lanjutan Moratorium Hanya Pada Golongan Terjejas

Lanjutan Moratorium Hanya Pada Golongan Terjejas

KUALA LUMPUR, Hanya golongan sasar yang terjejas akan menerima moratorium sekiranya ia dilanjutkan dan bukan lagi automatik kepada semua seperti sebelum ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kerajaan ketika ini sedang berbincang dengan bank mengenai moratorium, dan terpulang kepada mereka sama ada boleh melanjutkannya atau tidak.

Katanya, kerajaan menerima banyak soalan mahupun permintaan daripada orang ramai yang memerlukan lebih banyak masa untuk moratorium ini.

“Bagi pandangan peribadi saya, kita perlu menolong orang yang perlu ditolong, sewaktu kita melaksanakan moratorium enam bulan ini, kita menolong semua orang sama ada yang mempunyai gaji atau mampu untuk membayar, tetap dapat nikmati manfaat ini secara automatik.

“Jadi saya fikir menuju ke depan, langkah terbaik ialah untuk memberi tumpuan kepada golongan sasar yang mana lebih memerlukan.

“Tetapi kita tidak boleh memaksa bank untuk melakukannya dan kami akan terus mengadakan libat urus dengan mereka mengenai perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan kanan Prasarana Malaysia Bhd di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

BNM pada 25 Mac lalu mengumumkan pelaksanaan moratorium bagi semua pembayaran semula pinjaman oleh individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi tempoh enam bulan bermula 1 April 2020.

Sejumlah RM43.7 bilion telah dimanfaatkan oleh penerima moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan setakat 19 Jun lalu dengan sebanyak RM15.3 bilion dimanfaatkan oleh sektor perniagaan.

Tengku Zafrul turut menasihatkan semua pihak supaya segera berjumpa dan berbincang dengan bank mengenai penstrukturan semula pinjaman mereka dan jangan tunggu hingga saat akhir.

“Sila berjumpa dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) juga untuk membuat penstrukturan semula hutang jika anda mengalami masalah kewangan akibat dibuang kerja untuk mereka membantu.

Dalam pada itu, Malayan Banking Bhd (Maybank), bank terbesar Malaysia dari segi aset, pada Jumaat lalu berkata, ia tidak bercadang melanjutkan tempoh moratorium pinjaman yang akan berakhir September ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Abdul Farid Alias, berkata tempoh penangguhan bayaran balik selama enam bulan sudah mencukupi untuk membolehkan Maybank tampil dengan pelan penstrukturan semula dalam menangani kesan COVID-19.

“Secara dasarnya, idea pelaksanaan moratorium adalah memberikan bank dan pelanggan masa untuk berdepan impak COVID-19 di mana kita tidak pernah hadapi sebelum ini.

“Dalam tempoh enam bulan (penangguhan), kita memerlukan masa untuk berbincang dengan pelanggan mengenai rancangan memperkemaskan semula kemudahan pinjaman mereka sebelum keluar dari tempoh moratorium dengan kedudukan yang stabil,” katanya.

Abdul Farid berkata, bank itu menjangkakan kesan penangguhan bayaran balik pinjaman membabitkan nilai sekitar RM1 bilion hanya akan dapat dilihat pada suku kedua tahun ini.

Walaupun moratorium yang diberikan kepada semua pelanggan runcitnya tidak menjejaskan keuntungan kumpulan perbankan terbesar Malaysia itu, ia dijangka memberi kesan kepada aliran tunainya.