Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > ‘Lain Kali Datanglah Program’

‘Lain Kali Datanglah Program’

SABAK BERNAM, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menolak dakwaan pihak tertentu bahawa Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama beberapa pimpinan meninggalkan parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Beliau berkata, sebahagian besar pimpinan utama parti itu pada pemilihan lalu adalah terdiri daripada penyokong Azmin.

“Setahu saya, beliau (Azmin) menang majoriti besar selaku Timbalan Presiden PKR dan selaku majoriti, tiada isu beliau keluar parti,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, Amirudin merasmikan Program Selangkah ke Universiti di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar.

Ditanya mengenai kenyataan parti yang memintanya memberi penjelasan kepada Lembaga Disiplin, Amirudin tidak mengulas kerana belum menerima makluman mengenai perkara itu.

“Saya baru dengar perkara itu malam tadi (semalam). Kalau surat pun belum datang, tak boleh beri maklum balas.

“Kalau surat dalam bentuk pantun, saya jawab dalam pantun. Kalau surat itu datang ajak main bola, saya main bola.

“Saya tunggulah surat itu hendak cerita apa. Selagi surat belum sampai, tak payah buat spekulasi,” katanya.

Diminta mengulas kenyataan beliau sebelum ini yang memberi bayangan seperti mengetahui dalang penyebaran video seks intim yang dikaitkan dengan seorang menteri, Amirudin berkata, ramai pihak yang tidak memahami kenyataan itu.

“Lain kali datanglah program. Tengoklah (dengarlah) apa yang saya sebut dan bila sebut ramai, maknanya ada dalam kalangan sebahagian ahli anggota PKR saya kenal 20 tahun.

“Kita bersama-sama melalui pengalaman pahit dan menempuh rintangan suka duka. Namun, bila kes ini (video seks) berjangkit kepada Azmin, saya sedih tengok ada pihak membuat buat tanggapan bahawa Azmin adalah pelakunya,” katanya.

Beliau berkata, kenyataannya itu juga tidak menyebut nama mana-mana pihak dan sekiranya memerlukan penjelasan, beliau sendiri akan memberi penjelasan.

Leave a Reply

Top