KUALA LUMPUR, Belum pun reda kes siasatan kes pembelian sebuah hotel di London oleh Felda Investment Corperation (FIC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang menyiasat pembelian sebuah lagi hotel oleh agensi terbabit di Malaysia.

Hotel bertaraf empat bintang itu yang terletak di Kuching, Sarawak dipercayai telah dibeli oleh FIC dengan harga yang jauh lebih tinggi daripada harga asal.

Menurut sumber, siasatan berhubung pembelian hotel tersebut dibuat susulan daripada siasatan SPRM berkaitan dengan pembelian hotel oleh FIC di kota London antara tahun 2013 dan 2015.

Katanya, maklumat awal yang diterima oleh pasukan penyiasat menunjukkan pembelian hotel tersebut telah mengakibatkan kerugian ratusan juta ringgit kepada FIC.

“Pasukan penyiasat kini sedang menilai maklumat yang diterima dan dijangka akan pergi ke pejabat FIC di beberapa lokasi untuk mendapatkan dokumen dan maklumat berkaitan pembelian hotel tersebut dalam masa terdekat,” tambahnya.

Pengarah Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah memulakan proses mengumpul maklumat berhubung pembelian hotel tersebut.

Beliau berkata siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengenalpasti sama ada wujudnya unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam proses pembelian tersebut.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *