BANGI, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyasarkan untuk memperluaskan lagi Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) dengan membuka 10 lagi cawangan baharu di seluruh negara tahun depan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP Datuk Mohd Naim Daruwish berkata setakat ini terdapat tujuh cawangan yang beroperasi sejak 2014 dengan pembukaan dua cawangan pertama iaitu di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, diikuti lima cawangan dibuka secara berperingkat pada 2015, iaitu di Seberang Jaya, Ipoh, Kuantan, Johor Bahru dan Kota Kinabalu.

Sebelas lagi cawangan akan dibuka pada akhir tahun ini di Kuching, Alor Setar, Sungai Petani, George Town, Shah Alam, Kajang, Klang, Seremban, Melaka, Kota Bharu dan Kuala Terengganu.

Beliau berkata usaha itu sejajar dengan sasaran KWSP untuk menyediakan perkhidmatan RAS di hampir 50 peratus cawangannya di seluruh negara menjelang 2020.

“Dengan perluasan khidmat RAS ini, KWSP berharap agar ahlinya lebih bersedia untuk menempuh alam persaraan serta mencapai jumlah Simpanan Asas pada umur 55 tahun seperti yang dinyatakan dalam Jadual Simpanan Asas KWSP,” katanya kepada media, di sini baru-baru ini.

Mohd Naim berkata, sejak RAS dilancarkan pada 2014 sehingga Ogos tahun ini, seramai 18,805 ahli KWSP telah mendapatkan khidmat nasihat RAS secara bersemuka di cawangan KWSP secara percuma.

Katanya pegawai penasihat RAS menggunakan dua pendekatan iaitu Perancangan Persaraan kepada ahli yang berumur 35 tahun ke atas dan Perancangan Kewangan bagi ahli yang berumur 35 tahun ke bawah.

Tujuan RAS diwujudkan adalah bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan ahli tentang kepentingan merancang untuk persaraan serta memberi pandangan dan nasihat dalam membuat keputusan terbaik sebelum membuat pengeluaran simpanan KWSP.

Selain itu, RAS juga memberi bimbingan dalam pengurusan simpanan persaraan agar ahli dapat menjana pendapatan bulanan, bertahan lama dan berupaya membiayai kos sara hidup semasa berada di alam persaraan.

Katanya, setakat tahun lalu, 65 peratus daripada ahli KWSP yang berumur 54 tahun mempunyai simpanan sebanyak RM50,000 dan ke bawah, di mana kebanyakan ahli menghabiskan wang simpanan KWSP mereka dalam jangka masa tiga hingga lima tahun.

“Situasi itu membimbangkan kerana purata jangka hayat rakyat Malaysia semakin meningkat iaitu 75 tahun,” jelasnya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *