MH Online

Laman Suara Rakyat

KWP Tunggu Laporan JPS Cari Punca Banjir Kilat

KWP Tunggu Laporan JPS Cari Punca Banjir Kilat

KUALA LUMPUR, Kementerian Wilayah Persekutuan menunggu laporan terperinci Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mencari punca mengakibatkan kejadian banjir kilat yang menjejaskan beberapa lokasi di ibu negara, semalam.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata laporan itu bagi memastikan sama ada sistem penyuraian air banjir yang ada di ibu negara berfungsi dengan baik atau sebaliknya.

“Saya minta laporan keseluruhan terutama daripada pihak JPS untuk memastikan adakah sistem penyuraian banjir termasuk sistem Terowong Lebuhraya SMART dan sistem perparitan berfungsi dengan baik… cukup atau tidak.

“Keduanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melihat secara keseluruhan kerana saya mahu tengok pertalian antara kawasan banjir dengan kawasan pembangunan,” katanya kepada media ketika membuat lawatan ke pusat pemindahan banjir di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya mahu melihat sama ada kejadian banjir kilat hari ini ada kaitan dengan pelbagai projek pembangunan yang sedang dijalankan di sekitar ibu negara.

“Ada kemungkinan… maka kita kena kaji corak (kejadian) untuk DBKL melihat pelan untuk jangka masa yang lebih panjang.

“Bukan sahaja untuk mengetahui sebab insiden pada hari ini sahaja, tetapi kita melihat penyelesaian yang lebih bersifat jangka panjang,” katanya.

Annuar perkara itu perlu dipastikan kerana kerajaan sudah mengeluarkan perbelanjaan yang besar dalam menyelesaikan isu banjir yang dahulunya kerap berlaku di ibu negara.

“Kita nak pastikan kerana selama ini kita telah belanja berbilion ringgit untuk sistem penyuraian banjir, Terowong Lebuhraya SMART dan sebagainya.

“Kita nak memastikan adakah sistem itu berfungsi dengan baik dan adakah ini menandakan sistem yang ada itu belum mencukupi ataupun kita yang mungkin lakukan kesilapan… mungkin tidak,” katanya.

Dalam pada itu, katanya taburan jumlah hujan yang luar biasa petang semalam juga dikatakan menjadi punca berlaku banjir kilat yang menjejaskan beberapa kawasan di ibu negara dengan lokasi paling teruk terjejas di sekitar Jalan Gurney dan Kampung Baru.

“Difahamkan jumlah taburan hujan pada hari ini terlalu tinggi, luar daripada kebiasaan dan hujan lebat berlaku di hulu-hulu sungai di kawasan Gombak.

“Ini menyebabkan sungai dan sistem perparitan tidak dapat menampung jumlah air hujan yang sangat banyak dan melimpah,” katanya.

Mengulas mengenai 101 keluarga terjejas teruk akibat banjir kilat semalam, Annuar berkata pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada mangsa.

Hujan lebat bermula sekitar jam 2 petang semalam menyebabkan kediaman 410 orang daripada 101 keluarga di Kg Periuk; Jalan Raja Bot; Jalan Raja Alang; Jalan Raja Ali di Kampung Baru di sini ditenggelami air.

Sebahagian daripada mereka kini ditempatkan di pusat pemindahan banjir yang dibuka di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini semalam.