Anda di sini!
Utama > Belia > KWP Rancang Bangun Projek Rumah Mampu Milik

KWP Rancang Bangun Projek Rumah Mampu Milik

PUTRAJAYA, Kementerian Wilayah Persekutuan akan melaksanakan tiga projek perumahan mampu milik di bawah harga RM200,000 khusus kepada golongan muda.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata beliau maklum ramai golongan muda yang ingin memiliki rumah sendiri di Putrajaya namun harga rumah mampu milik yang ditawarkan di situ masih dalam kategori mahal.

Katanya, atas sebab itu pihaknya mahu menambah jumlah rumah mampu milik di wilayah terbabit supaya golongan muda yang berpendapatan RM4,000 ke bawah juga boleh membeli rumah di lokasi itu.

“Sebenarnya ramai yang mahu menetap dan memiliki rumah di Putrajaya namun masih tidak mampu untuk membeli rumah di sini.

“Jadi dengan projek perumahan yang bakal kita laksanakan ini kita akan pastikan golongan muda yang berpendapatan bawah RM4,000 dapat membeli rumah dan tempoh pinjaman juga boleh diberikan sehingga tempoh 30 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Al Quran Mushaf Putrajaya sempena Nuzul Quran dan Sambutan Jubli Perak Putrajaya, di Nasyrul Quran, di sini.

Annuar berkata, pihaknya kini sedang menyiapkan kertas cadangan untuk tiga projek perumahan itu sebelum ia dapat dibentangkan dalam mesyuarat kabinet.

Dalam pada itu, Annuar berkata selain projek perumahan pihaknya juga sudah mengenal pasti beberapa tanah untuk dibangunkan sebuah lagi masjid dan perkampungan al Quran (Quran Village) di Presint 14, di sini.

Beliau berkata, dengan adanya perkampungan al Quran itu ia memberi ruang kepada masyarakat untuk mendalami ilmu al Quran dan sains yang terdapat dalam kitab berkenaan.

Leave a Reply

Top