MH Online

Laman Suara Rakyat

KWP Akan Usaha Naik Taraf Taman Awam

KWP Akan Usaha Naik Taraf Taman Awam

KUALA LUUMPUR, Kementerian Wilayah Persekutuan akan meneruskan usaha menaik taraf taman awam dan telah mengenal pasti beberapa tapak boleh dijadikan sebagai taman rekreasi atau kawasan lapang yang belum dimajukan setakat ini.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata langkah mewujudkan taman yang berkualiti tinggi, berfungsi dan dijaga dengan baik harus dijadikan sebahagian daripada ‘karakter’ Kuala Lumpur.

“Kuala Lumpur tidak hanya soal bangunan yang tinggi serta besar tetapi aspek taman dan kawasan lapang harus diletakkan sebagai keutamaan cukup tinggi.

“Kita berbangga kerana Kuala Lumpur mempunyai sejumlah kawasan hijau dan lapang yang bukan sahaja luas tetapi cukup berkualiti tinggi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Transformasi Taman Tasik Titiwangsa di bawah projek Sungai Nadi Kehidupan (ROL) di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebanyak 2,068.30 hektar kawasan lapang di Kuala Lumpur diperuntuk sebagai kawasan hijau dan rekreasi bagi tujuan riadah untuk warga kota.

Katanya, daripada jumlah keluasan itu, sebanyak 966.05 hektar tanah telah diwartakan manakala 1,033.99 hektar tanah lapang berpotensi dan akan diwartakan seperti yang dalam Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020.

Sebanyak 1,930 hektar kawasan lapang di Putrajaya telah diwartakan sebagai kawasan hijau dan rekreasi manakala di Labuan, sejumlah 29.86 hektar kawasan lapang turut diwartakan sebagai kawasan hijau dan rekreasi, katanya.