Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > KWAP Anjur Karnival Santuni Masyarakat

KWAP Anjur Karnival Santuni Masyarakat

IPOH, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) menganjurkan Karnival Rasa Sayang buat pertama kali hari ini dengan bandar raya ini menjadi lokasi pertama karnival yang bertujuan menggalakkan persediaan persaraan dan penuaan aktif.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Hamadah Othman, berkata penganjuran karnival itu adalah kesinambungan inisiatif pihaknya dalam mengambil pendekatan lebih holistik dalam menjalankan peranan menjangkaui aspek pelaburan dan hal ehwal pentadbiran pencen.

Menurutnya, inisiatif itu direka berdasarkan lima tunjang utama untuk persaraan yang aktif dan lebih bermakna iaitu daripada segi kewangan, kesihatan, persekitaran, psikologi dan sosial.

“Karnival Rasa Sayang ini adalah usaha berterusan kami untuk memperkasa kehidupan golongan bakal pesara dan pesara supaya mereka dapat melalui alam persaraan dengan lebih bermakna, bersemangat dan gembira.

“Kami ingin mengubah pendapat segelintir pesara yang melihat persaraan sebagai satu pengakhiran semata-mata dan sebaliknya menggalakkan mereka untuk melihat fasa ini sebagai pembaharuan hidup yang membawa pelbagai peluang dalam menikmati persaraan dengan lebih sihat, aktif dan produktif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Karnival Rasa Sayang 2018 dan pelancaran Aplikasi MyPesara 2.0 anjuran KWAP di sini hari ini yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan.

Syed Hamadah berkata, golongan warga emas di Malaysia semakin meningkat di mana rakyat berusia 65 tahun ke atas dijangka membentuk 35 peratus daripada keseluruhan populasi negara menjelang akhir abad ini.

“Melalui karnival ini KWAP mengambil pendekatan proaktif dalam menghadapi cabaran masa hadapan untuk meningkatkan kualiti kehidupan warga emas.

“Program dan aktiviti yang diadakan di karnival ini adalah berpandukan penyelidikan hasil kerjasama KWAP dan Institut MyAgeing daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), sebuah institusi yang mempunyai kepakaran dalam kajian gerontologi,” katanya.

Beliau berkata, lebih 30 rakan kongsi perkhidmatan strategik dipilih mengambil bahagian dalam karnival itu termasuk Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Amanah Raya Berhad dan banyak lagi.

“Antara elemen utama karnival ini adalah zon pengetahuan interaktif yang memuatkan pelbagai informasi berkaitan persaraan bermakna, mempromosikan aplikasi MyPesara fasa baharu untuk dimuat turun dan memperkenalkan rangkaian perkhidmatan baharu berkaitan kewangan dan kesihatan serta program berdasarkan keperluan pesara.

“Karnival ini turut disertai personaliti seperti Fizo Omar, Datuk Ustaz Badli Shah Alauddin dan chef Adamdidam yang berinteraksi dengan pengunjung serta berkongsi tips dan nasihat penting mengenai perancangan dan persediaan untuk persaraan aktif,” katanya.

Leave a Reply

Top