Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > ‘Kuota Exco Sudah Penuh’

‘Kuota Exco Sudah Penuh’

KUALA LUMPUR, PAS tidak menawarkan sebarang jawatan EXCO Kerajaan Terengganu kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana tiada kekosongan disebabkan kuota jawatan sudah mencukupi.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ada wakil parti pembangkang lain yang terbabit dengan beberapa agensi kerajaan negeri itu.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, PAS turut menolak tawaran Kerajaan Perlis pimpinan BN bagi mengisi jawatan EXCO negeri itu, kerana menghormati mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang memilih BN untuk menerajui negeri berkenaan.

“Dalam konteks Terengganu, semua wakil rakyat mendapat (peruntukan) sama ada membabitkan UMNO atau pembangkang lain dan peranan UMNO Terengganu sebenarnya sebagai penyokong kerajaan negeri, sama seperti UMNO Kelantan jadi penyokong Kerajaan Kelantan.

“Bagi kita dalam keputusan PRU-14, rakyat sudah memberi mandat dan kita setuju untuk UMNO dan PAS menjadi satu pasukan (di negeri yang ditadbir), walaupun tidak terbabit secara langsung (pentadbiran negeri).

“Ketika ini, semua jawatan EXCO sudah penuh, kouta sudah penuh. Kerajaan Perlis ada kekosongan sebelum ini dan mereka tawarkan (pada PAS), tetapi PAS hormati (keputusan PRU-14).

“Walaupun PAS tidak buat keputusan bersama, tetapi kita sokong semua dasar kerajaan negeri (di bawah pentadbiran BN),” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas laporan portal berita yang memetik Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyatakan harapan untuk wakil rakyat mereka diberi peluang berada dalam Kerajaan Terengganu pimpinan PAS.

Pada 14 September lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, ada perancangan untuk memulakan penyertaan wakil UMNO dalam kerajaan negeri pimpinan PAS seperti Kelantan dan Terengganu.

Ditanya sama ada PAS masih merancang untuk berbuat demikian, Tuan Ibrahim berkata: “Daripada segi pelantikan jawatan sudah penuh, yang penting kerjasama yang menggambarkan permuafakatan berjalan.”

Leave a Reply

Top