MH Online

Laman Suara Rakyat

Kumpulan Pertama Jemaah Umrah Arab Saudi

Kumpulan Pertama Jemaah Umrah Arab Saudi

MAKKAH, Kumpulan pertama jemaah umrah merangkumi warga tempatan Arab Saudi tiba di Masjidil Haram awal pagi tadi, selepas selesai musim haji di kota suci itu.

Ketua Umum Urusan Dua Masjid Suci, dengan kerjasama dengan pihak berwajib, mengatur kemasukan jemaah ke Masjidil Haram melalui pintu tertentu, memastikan pematuhan ketat pencegahan wabak dan penjarakan fizikal.

Pemangku Menteri Haji dan Umrah, Dr Issam bin Saad bin Saeed, berkata ibadah haji tahun ini berjalan lancar dan tiada kes COVID-19 dilaporkan dalam kalangan jemaah.

“Kita mencapai tujuan utama iaitu keselamatan jemaah dalam musim yang luar biasa dengan ancaman pandemik coronavirus yang dihadapi agensi kerajaan.

“Tahniah dan syabas kepada Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota Mohammed Salman, atas kejayaan menganjurkan ibadah haji dalam norma baharu ini,” katanya.

Tambah beliau, prosedur bagi jemaah umrah juga sama seperti jemaah haji, di mana semua diwajibkan mematuhi sekatan COVID-19 yang dikuatkuasa.

Jumaat lalu, Kerajaan Arab Saudi mengumumkan tambahan penerbangan bagi melengkapkan pengurusan proses menghantar pulang jemaah haji secara selamat, lapor akhbar Arab News.

Tujuh penerbangan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah menuju ke Riyadh, Dammam dan Hofuf, selepas jumlah penerbangan ditambah bagi menampung jemaah.

Wakil Menteri Kesihatan Arab Saudi untuk Hal Ehwal Pencegahan, Dr Abdullah Asiri, berkata jemaah yang pulang selepas menunaikan ibadah haji tidak perlu menjalani ujian saringan COVID-19 atau kuarantin bila tiba di bandar masing-masing.

Dalam pada itu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi turut mengumumkan pihaknya dengan kerjasama Persatuan Orang Cacat Harakiya berjaya membantu 17 jemaah kelainan upaya menunaikan ibadah haji sehingga selesai tahun ini.

Kementerian itu, dalam satu kenyataan, menegaskan kelainan upaya tidak menghalang mana-mana individu untuk menunaikan rukun Islam kelima itu. – AGENSI