Menteri itu dilaporkan berkata, beliau tidak bertanggungjawab terhadap pelantikan ejen di HRDF yang merupakan badan untuk mempromosi latihan dan pembangunan pekerja.

“Saya tidak terbabit dengan operasi harian. Saya juga tidak terbabit dalam pengambilan pekerja atau menandatangani cek,” dipetik sebagai berkata.

Kula Segaran yang juga seorang peguam sebelum dilantik menganggotai Kabinet, mahu HRDF menyiasat dakwaan itu.

Pada Jumaat lalu, satu akaun dalam laman Twitter bernama Lovelydarshan mendedahkan firma guaman, Vemal Arasan & Associates yang didakwa milik anak didik Kula Segaran dilantik sebagai ejen menguruskan tunggakan levi tersebut.

Malah akaun Twitter itu mendakwa, firma guaman itu gagal memenuhi syarat-syarat polisi HRDF iaitu memerlukan seorang rakan bumiputera dan perlindungan insurans RM1 juta.

Bagaimanapun ketika dihubungi, Ketua Eksekutif HRDF, Elanjelian Venugopal mengesahkan firma itu merupakan satu daripada 16 panel badan berkenaan dan menjelaskan khidmat guaman yang dilantik adalah mengikut kepakaran masing-masing serta telah ditapis.