Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > KUIN Mampu Capai Status Universiti Penuh

KUIN Mampu Capai Status Universiti Penuh

BALING, Pengiktirafan Sijil Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S kepada Kolej Universiti Insaniah (Kuin) oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) hari ini mampu menjadi pemangkin kepada kolej itu untuk mendapatkan status universiti penuh.

Ketua Pengarah MPC Datuk Razali Hussain berkata projek pensijilan QE/5S yang dijalankan secara bersama oleh Kuin dan MPC itu membuktikan kesediaan Kuin untuk mewujudkan persekitaran yang berkualiti dan kondusif.

“Pelaksanaan amalan ini dijalankan sejak setahun lalu dengan memberi pendedahan kepada warga Kuin mengenai prinsip 5S’ dalam menambah baik dan meningkatkan kualiti pengurusan Kuin. Saya yakin usaha sama dan pengiktirafan ini akan memberi kelebihan kepada Kuin pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Dokumen Usaha sama di antara MPC dan Kuin di Kuala Ketil dekat sini hari ini. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia Kedah Datuk Norsabrina Mohd Noor.

Hadir sama Timbalan Rektor Pengurusan, Kewangan dan Hal Ehwal Pelajar Kuin Datuk Bukhari Abdullah.

Sementara itu, Norsabrina memuji inisiatif yang diambil kolej berkenaan dalam usaha meningkatkan kualiti dan produktiviti institusi berkenaan.

“Ini adalah pencapaian yang membanggakan dalam usaha melahirkan sebuah institusi yang berkualiti kerana setakat ini hanya 15 institusi pengajian tinggi menerima pengiktirafan sijil QE/5S ini.

“Saya harap pertukaran maklumat mengenai kepakaran dan rujukan antara MPC dan Kuin akan mewujudkan persekitaran yang berkualiti di kolej ini,” katanya.

Leave a Reply

Top