Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > KUD Sasar Jualan RM40 Juta

KUD Sasar Jualan RM40 Juta

KUALA LUMPUR, Karnival Usahawan Desa (KUD) yang bakal diadakan selama lima hari, mulai 17 Oktober ini di Putrajaya menyasarkan jualan merangkumi pelbagai produk dan segmen pasaran menjangkau nilai RM40 juta.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata sasaran itu berupaya dicapai kerana lokasi terakhir penganjuran KUD di Putrajaya adalah kemuncak acara dan dijangka mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan penduduk di luar Kuala Lumpur.

Selain itu, katanya, pelbagai tarikan yang disajikan kepada pengunjung merangkumi pengisian program, potensi jualan dan peluang memperluaskan perniagaan dikenal pasti antara pemangkin ke arah merealisasikan matlamat berkenaan.

“Kita lihat ada peningkatan begitu memberangsangkan menerusi siri penganjuran KUD sebelum ini, iaitu di Pulau Pinang untuk zon utara, Terengganu (zon timur) dan Sabah yang secara keseluruhan merekodkan jumlah jualan RM5.28 juta serta disertai 190,935 pengunjung.

“KUD juga akan mengetengahkan kelompok usahawan sosial untuk membuat pameran dan jualan produk supaya masyarakat memahami konsep keusahawanan ini yang boleh menjadi penggerak ekonomi baharu di kawasan luar bandar.

“Penekanan kepada sasaran segmen wanita dan belia melalui pelbagai aktiviti berbentuk keusahawanan, khusus bagi kaum hawa serta golongan muda turut dianjurkan sepanjang karnival ini berlangsung.

“Tidak dilupakan ialah penyertaan daripada penjara, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan orang kelainan upaya (OKU) yang bakal memasarkan pelbagai produk yang dipercayai mampu menarik minat orang ramai.

“Pengunjung bukan saja boleh membeli-belah, tetapi berupaya mendapatkan maklumat sekiranya ingin menceburi bidang keusahawanan di tapak pameran kita akan menampilkan golongan peniaga yang sudah berjaya memasarkan produk mereka sehingga ke pasaran luar negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis prapelancaran KUD Putrajaya 2019, di perkarangan Sri Pentas, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa; Pengerusi Kumpulan Media Prima Bhd (MPB), Datuk Syed Hussian Syed Junid; Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Kamal Khalid dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN), Johan Mohamed Ishak.

Rina berkata, sebanyak 1,000 usahawan merangkumi segmen jualan produk desa, mesin, ternakan, makanan minuman, perkhidmatan dan pembiayaan bakal menyertai KUD di Putrajaya.

Katanya, aktiviti pembangunan keusahawanan seperti pemadanan perniagaan akan turut diadakan menerusi kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

“Oleh itu, kita jangkakan seramai dua juta pengunjung akan hadir memeriahkan karnival lima hari ini, malah tidak dilupakan pelbagai program berbentuk hiburan dan pengisian bermanfaat disediakan untuk golongan kanak-kanak.

“Pameran haiwan di ladang ternakan membabitkan pelbagai jenis binatang seperti rusa, landak, kancil, arnab, angsa, itik, burung unta dan lain-lain sudah pasti menjadi tarikan bagi golongan kanak-kanak, manakala ibu bapa boleh membeli-belah,” katanya.

Ditanya kempen menggalakkan pembelian produk Muslim, Rina berkata, kementerian mengambil ketetapan bahawa usaha sedemikian seharusnya terarah kepada memacu pemasaran barangan buatan Malaysia demi membangunkan ekonomi domestik.

Leave a Reply

Top