MH Online

Laman Suara Rakyat

Kuasa Polis Hong Kong Diperluas

Kuasa Polis Hong Kong Diperluas

Kuasa polis Hong Kong diperluas untuk melakukan serbuan serta pemeriksaan tanpa waran, selain mengeluarkan notis menamatkan khidmat Internet, bawah undang-undang keselamatan nasional baharu Beijing.

Pengumuman berhubung perkara itu dibuat ketika syarikat teknologi utama, termasuk Facebook, Google serta Twitter, memaklumkan bahawa mereka menggantung permintaan daripada kerajaan dan pihak penguat kuasa undang-undang Hong Kong untuk mendapatkan maklumat pengguna.

Peruntukan baharu itu yang didedahkan menerusi dokumen setebal 116 halaman, semalam, menghapuskan sebahagian besar pengawasan kehakiman yang memantau kuasa pihak polis sebelum ini.

Melalui undang-undang itu, pihak polis boleh melakukan penggeledahan tanpa waran jika menganggap wujud ancaman terhadap keselamatan negara yang perlu diambil tindakan segera.

Ketua Polis Hong Kong juga diberi kuasa mengawal serta memadamkan maklumat dalam talian jika ‘wujud asas’ untuk mengesyaki data terbabit melanggar undang-undang keselamatan nasional.

Selain itu, polis boleh mengarahkan penyedia perkhidmatan serta firma Internet untuk memadamkan maklumat dan merampas peralatan mereka, dengan denda serta hukuman penjara hingga setahun jika pihak berkenaan enggan bekerjasama.

Syarikat terbabit juga diarah menyediakan rekod identifikasi dan bantuan nyahkod.

Malah, Ketua Polis boleh meminta pertubuhan politik antarabangsa, termasuk di Taiwan, untuk memberikan maklumat mengenai aktiviti mereka di Hong Kong, merangkumi data peribadi, sumber pendapatan dan perbelanjaan – AFP