Seorang ketua setiausaha (KSU) sebuah kementerian dan dua anak lelakinya ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes menyalahgunakan kuasa, jawatan dan kedudukan untuk menerima rasuah.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan KSU berumur 59 tahun dan bergelar ‘Datuk’ itu bermula hari ini sehingga 11 Jan.

KSU itu yang ditahan SPRM di kediamannya di USJ, Subang pagi semalam, tiba di perkarangan Mahkamah Majistret di sini memakai baju lokap SPRM berwarna jingga dan telah menutup mukanya dengan baju kemeja jalur.

Dua orang anaknya yang berumur 29 dan 34 ditahan semasa diambil keterangan di ibu Pejabat SPRM.

Dua anak lelaki KSU itu merupakan pengarah urusan dua syarikat berbeza.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib berkata siasatan kes terhadap ketiga-tiga individu itu dijalankan mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

Seksyen 165 Kanun Keseksaan menyatakan penjawat awam menerima benda yang berharga, dengan tiada balasan, daripada orang yang ada kena-mengena dalam apa-apa prosiding atau urusan yang dijalankan oleh penjawat awam itu.

Semalam, SPRM merampas dan menyita wang tunai serta jongkong emas bernilai kira-kira RM3 juta susulan penahanan KSU itu, selain merampas beberapa barangan mewah termasuk jam, beg tangan, pen dan sejumlah mata wang asing.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *