MH Online

Laman Suara Rakyat

Kritik Tindakan Tentera US Keatas Syria

Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Federica Mogherini menolak tindakan ketenteraan sebagai jalan penyelesaian terhadap krisis di Syria, susulan insiden serangan peluru berpandu Tomahawk yang dilancarkan Amerika Syarikat (AS), awal pagi Jumaat lalu hingga meningkatkan ketegangan di Timur Tengah.

“Berhubung isu ini, EU sangat tegas dan jelas bahawa kami menolak pilihan ketenteraan untuk menyelesaikan konflik tersebut.

“Kami harap Washington setuju dengan penyelesaian politik terhadap krisis di Damsyik,” katanya ketika sidang media di ibu negara Algeria, kelmarin.

Selepas serangan yang turut mencetuskan pelbagai reaksi negara antarabangsa itu, pegawai pentadbiran Presiden Donald Trump, memaklumkan bahawa mereka bersedia mengambil tindakan lanjut jika perlu.

Dalam perkembangan berkaitan, sekutu Syria mengancam tindak balas terhadap mana-mana pihak yang melakukan ‘pencerobohan’ terhadap Syria, dua hari selepas serangan ke atas pangkalan tentera udara di Homs.

“Pencerobohan itu sememangnya melangkaui ‘garisan merah’. Kami akan bertindak balas dengan tegas terhadap pihak yang berbuat demikian,” menurut kenyataan bilik operasi bersama untuk penyokong rejim Presiden Bashar al-Assad, Rusia dan Iran.

Kenyataan tersebut mengecam tindakan terburu-buru AS menyerang Syria, sebelum siasatan ke atas serangan senjata kimia di Idlib dilakukan, selain tidak mendapat kelulusan PBB.

“Sekutu Damsyik akan terus meningkatkan sokongan ketenteraan dan menyokong rakyat dalam pelbagai cara.

“Kami mengutuk sebarang serangan yang menyasarkan orang awam dan apa yang telah berlaku di Khan Sheikhoun yang dipercayai dirancang oleh negara serta organisasi tertentu untuk dijadikan alasan menyerang Syria,” jelas kenyataan itu lagi. – Agensi