Anda di sini!
Utama > Ekonomi > Krisis Boeing Semakin Parah

Krisis Boeing Semakin Parah

Boeing Co berkata ia akan menggantung pengeluaran pesawat jenis 737 MAX pada Januari, pemberhentian barisan pemasangan terbesar dalam lebih 20 tahun, susulan dua kemalangan maut pesawat jenis itu yang kini digantung perkhidmatannya kepada 2020.

Boeing, yang membangunkan pesawat 737 di selatan Seattle, berkata ia tidak akan memberhentikan seorang pun daripada 12,000 tenaga kerja di sana semasa pembekuan pengeluaran itu, walaupun langkah itu boleh memberi kesan ke atas rantaian bekalan globalnya dan ekonomi Amerika Syarikat (AS).

Keputusan di mesyuarat lembaga pengarah selama dua hari itu dibuat selepas Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) enggan meluluskan kembalinya perkhidmatan pesawat jenis itu sebelum 2020 dan menyampaikan apa yang dilihat sebagai penolakan umum terhadap harapan Boeing untuk bergerak lebih pantas.

737 MAX digantung perkhidmatannya sejak Mac selepas dua kemalangan maut di Indonesia dan Ethiopia yang meragut 346 nyawa dalam tempoh lima bulan, menyebabkan pengeluar pesawat itu menanggung kos lebih AS$9 bilion setakat ini.

Keputusan untuk menghentikan pengeluaran akan memberi impak segera yang kecil kepada syarikat penerbangan itu yang menyaksikan penghantaran dihentikan, memaksa lebih banyak syarikat penerbangan membatalkan penerbangan atau memajak pesawat jenis lain.

Tetapi ia menandakan krisis yang semakin parah yang sudah pun menyaksikan pesawat paling laris Boeing itu digantung perkhidmatannya di seluruh dunia, rekod keselamatannya dipantau, pelanggan mendesak pampasan dan hubungannya dengan FAA menjadi tegang.

Ia juga mengancam ekonomi AS, dengan ahli Dewan Perwakilan Rick Larsen menyifatkan keputusan Boeing sebagai “pukulan kepada pekerja dan ekonomi serantau.”

“Satu-satunya yang menyelamatkan adalah kepimpinan Boeing berjanji untuk tidak membuang mana-mana pekerja. Saya bersedia untuk bekerjasama dengan kakitangan Boeing untuk memastikan … mereka akan mempunyai akses kepada sumber yang diperlukan sekiranya berlaku penutupan yang berpanjangan.” – Reuters

Leave a Reply

Top