Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan akan bersara bulan depan, selepas 40 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Khalid yang akan genap berusia 60 tahun pada 5 September ini, mengakui tidak akan menyambung kontrak perkhidmatan sebagai Ketua Polis Negara selepas tarikh kelahirannya itu yang juga tarikh rasmi persaraannya.

“Tempoh perkhidmatan saya akan tamat pada usia 60 tahun, 5 September ini.

“Ini keputusan saya sendiri. Sudah sampai masanya saya berehat,” katanya, hari ini.

Khalid memulakan kerjaya dengan PDRM pada 1976 dan pernah menyandang pelbagai jawatan sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Negeri Sembilan pada 2005 sebelum dilantik sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, seterusnya Ketua Polis Selangor pada Jun 2007.

Kerjayanya berkembang selepas dilantik Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman pada 2010 sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada April 2011 menggantikan Tan Sri Husin Ismail yang bersara wajib.

Pada 17 Mei 2013, Khalid yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan dilantik sebagai Ketua Polis Negara menggantikan Tan Sri Ismail Omar yang tamat tempoh pelantikan secara kontrak.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *