MH Online

Laman Suara Rakyat

KPM Tidak Halang Guru Sokong Mana – Mana Parti

KUALA TERENGGANU, Kementerian Pelajaran tidak akan menghalang guru daripada menyokong mana-mana parti politik tetapi mereka diingatkan supaya tidak terlalu ghairah dalam menonjolkan diri sebagai penyokong pembangkang.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata guru perlu menghormati profesion mereka dan terikat dengan peraturan dan undang-undang sebagai penjawat awam.

“Ini adalah negara demokrasi dan setiap individu ada hak untuk menyokong sesiapa sahaja yang mereka mahukan tetapi jangan terlalu menonjol apabila menunjukkan sokongan.

“Contohnya, jika dia seorang guru besar dan pada masa yang sama pemimpin sebuah parti pembangkang, tidak sesuai jika dia naik ke pentas untuk bercakap perkara yang tidak baik terhadap kerajaan. Nanti apa pula kata ibu bapa dan pelajar?

“Anda berada dalam kerajaan tetapi pada masa yang sama anda tidak berpuas hati dengan kerajaan dan anda tunjukkan ketidakpuashatian anda secara terbuka. Itu tidak betul. Harus ada garis antara seorang penjawat awam dengan penyokong parti pembangkang, ” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serada di sini, pada khamis.

Turut hadir Pengerusi Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri A. Latiff Awang dan Pengarah Pendidikan Negeri Shafruddin Ali Hussin.

Dalam perkembangan lain, Mahdzir berkata pihak kementerian telah mengenal pasti sekolah-sekolah yang akan menjadi pusat mengundi pada pilihan raya umum ke-14.

“Suruhanjaya Pilihan Raya telah memaklumkan Kementerian dan semua Jabatan Pelajaran negeri mengenai sekolah-sekolah yang akan dibuat pusat mengundi.

“Kita mempunyai 10,200 sekolah di seluruh negara dan kebanyakannya akan dijadikan pusat mengundi,” katanya.