Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > KPDNHEP Perkenal Food Bank Siswa

KPDNHEP Perkenal Food Bank Siswa

BUKIT MERTAJAM, 1,000 pelajar dua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini menjadi kumpulan pertama penerima Food Bank Siswa yang dilancarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata sebanyak 800 penerima di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang dan 200 penerima di Politeknik Seberang Perai, akan menjadi kelompok awal kepada projek perintis Food Bank Siswa.

“Kita mulakan program ini di Pulau Pinang kerana negeri ini sudah mempunyai sistem yang sangat kondusif, di mana ia turut digerakkan oleh Mutiara Food Bank dan kerajaan negeri.

“Selepas ini, Food Bank Siswa akan digerakkan pula ke Universiti Putra Malaysia (UPM) pada minggu hadapan dan seterusnya diperluaskan ke semua universiti awam di negara ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Saifuddin melancarkan Food Bank Siswa di UiTM Pulau Pinang, dengan Persatuan Pengusaha Restoran Islam Malaysia (PPRIM) menjadi penyumbang utama bagi bantuan makanan di Food Bank universiti itu.

Turut hadir, EXCO Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang negeri, Phee Boon Poh serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata kementerian tidak akan mengehadkan jumlah penerima Food Bank Siswa, sebaliknya ia bergantung kepada senarai yang dibuat pihak universiti.

Katanya, hanya pihak IPTA saja yang dapat mengenalpasti penerima yang benar-benar layak, iaitu pelajar yang berasal daripada keluarga B40.

“Kita tidak meletakkan jumlah penerima, sebaliknya ia bergantung kepada senarai yang pihak universiti keluarkan dan serah kepada kita,” katanya.

Leave a Reply

Top