MH Online

Laman Suara Rakyat

Korea Utara Tangguh Serang Guam

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un, menangguhkan keputusan menembak peluru berpandu ke arah Guam bagi melihat tindakan Amerika Syarikat (AS).

Keputusan itu disiarkan dalam laporan media rejim itu ketika Washington berkata terpulang kepada Jong-un berdialog.

AS dan Korea Selatan bersiap-sedia mengadakan lebih banyak latihan tentera bersama yang membangkitkan kemarahan Korea Utara dan pakar memberi amaran Pyongyang mungkin meneruskan pelan provokatif itu.

Dalam penampilan pertamanya di khalayak sejak dua minggu lalu, Jong-un memeriksa pemerintah tentera kelmarin, meneliti pelan membedil empat peluru berpandu yang disasarkan mendarat berhampiran wilayah AS di Guam, lapor agensi berita KCNA.

“Jika AS berterusan dalam tindakan melampau mereka di Semenanjung Korea dan sekitarnya, menguji kesabaran Korea Utara, Korea Utara akan membuat keputusan penting seperti diisytihar,” kata KCNA.

Dalam gambar yang disiarkan KCNA, Jong-un dilihat memegang baton dan menuding ke arah peta laluan penerbangan bagi peluru berpandu yang kelihatan bermula dari pantai timur Korea Utara, terbang melepasi Jepun menuju ke Guam.

Korea Utara kerap mengancam menyerang AS dan pangkalannya serta menyiarkan gambar sama pada masa lalu tetapi tidak pernah dilakukannya. – Reuters