MH Online

Laman Suara Rakyat

Koperasi Tentera Umum Dividen 10%

SUNGAI BULOH, Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (Koperasi Tentera) mengumumkan pulangan dividen 10 peratus kepada 154,933 ahlinya membabitkan pembayaran sebanyak RM144 juta.

Pembayaran dividen itu adalah berdasarkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM204.7 juta, diperoleh hasil daripada pendapatan bersih operasi bagi tahun kewangan 2017 berjumlah RM342.8 juta.

Mereka yang layak menerima dividen ialah 121,436 ahli yang masih berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 21,943 ahli yang juga bekas warga ATM dan 11,554 ahli yang terdiri daripada kakitangan awam yang berkhidmat dengan ATM.

Pengerusi Koperasi Tentera, Datuk Zulkiflee Mazlan berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 11.9 peratus daripada RM306.3 juta yang direkodkan pada 2016.

Katanya, untuk tahun kewangan 2017, secara keseluruhannya aset Koperasi Tentera menguncup menjadi RM2.97 bilion berbanding tahun sebelumnya menerusi hasil pematuhan di bawah Standard Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS).

“Biarpun keseluruhan aset Koperasi Tentera menguncup, namun modal yuran dan syer terkumpul koperasi meningkat kepada RM1.42 bilion.

“Jumlah itu adalah peningkatan sebanyak RM73 juta berbanding tahun sebelumnya,” katanya pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Koperasi Tentera Ke-53 di Dewan Perhebat, Kem Sungai Buloh, hari ini.

Hadir sama Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim dan Panglima Tentera Laut (PTL) Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Zulkiflee berkata, sepanjang 2017, koperasi sudah membayar pulangan atas simpanan anggota pada kadar lima peratus setahun membabitkan RM13.2 juta.

“Pulangan atas simpanan anggota yang dibayar itu adalah peningkatan sebanyak RM1 juta berbanding jumlah RM12.2 juta yang dibayar pada 2016,” katanya.

Menurut Zulkiflee, sebagaimana tahun sebelumnya, Koperasi Tentera memperuntukan RM2 juta keuntungan diperoleh bagi membiayai aktiviti sosial dan kebajikan anggota.

Katanya, koperasi itu juga sudah menyumbang lebih RM1.6 juta kepada Tabung Pendidikan, Tabung Derma Am dan Tabung Khairat Kematian warga ATM sepanjang tahun lalu.

Dalam majlis yang diadakan pagi tadi, Zulkiflee turut menyampaikan wang zakat perniagaan RM450,000 kepada Mohamad Sabu yang menerimanya sebagai mewakili Tabung Zakat Yayasan Veteran ATM.

Turut diadakan adalah penyampaian hadiah serta sumbangan kepada anggota ATM paling lama berkhidmat, sumbangan Skim Insentif Kecemerlangan (SIK) kepada anak-anak pencarum koperasi yang cemerlang dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 selain penyampaian Skim Sumbangan Bakti Bantuan Perubatan.