Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Koperal Mengaku Tidak Bersalah Minta RM500

Koperal Mengaku Tidak Bersalah Minta RM500

KUALA TERENGGANU, Seorang koperal polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta suapan RM500 daripada seorang penunggang motosikal minggu lalu.

Ruslan Deraman, 56, didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Polis Wakaf Tapai, Marang bagi melepaskan Roslan Abd Aziz dan motosikal jenis SYM milik isterinya daripada dikenakan tindakan undang-undang 13 Feb lalu.

Bagi kesalahan itu, Ruslan dituduh di bawah Seksyen 16(a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Hakim Azman Mustapha kemudian menetapkan wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan 19 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah.

Tertuduh kemudian membayar wang jaminan itu.

Leave a Reply

Top