MH Online

Laman Suara Rakyat

Kongres AMK Akan Dikawal Ketat

Kongres AMK Akan Dikawal Ketat

JOHOR BHARU, Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2019 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka, minggu depan akan dikawal ketat.

Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata beliau sudah membuat permohonan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi meningkatkan kawalan pada kongres berkenaan.

“Ia sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kekecohan mahupun berlaku provokasi.

“Saya minta supaya semua ahli AMK hadir pada kongres yang akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga bekas Presiden PKR, tanpa rasa bimbang atau takut.

“Saya juga akan membuat susulan dengan PDRM dalam masa terdekat bagi membuat permohonan rasmi bagi meningkatkan kawalan keselamatan pada kongres berkenaan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Ditanya sama ada beliau ada menerima ugutan lain menjelang kongres termasuk pihak yang mahu menimbulkan kekecohan Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, menafikannya.

“Tiada lagi ugutan diterima setakat ini namun langkah berjaga-jaga adalah perlu,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menafikan wujud usaha termasuk AMK untuk memihak mana-mana pemimpin dalam PKR.

Katanya, semua perkara yang dilakukan termasuk jemputan mesyuarat adalah membabitkan semua ahli dan diputuskan di dalam mesyuarat.

“Notis untuk kehadiran perwakilan bukanlah untuk kabilah mana-mana tapi pada masa yang sama, saya nasihatkan supaya semua hadir pada Kongres Nasional Tahunan AMK 2019 minggu hadapan,” katanya.