Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Kolam Takungan Tangani Banjir Kilat

Kolam Takungan Tangani Banjir Kilat

KOTA KINABALU, Sebuah kolam takungan yang berfungsi menampung air banjir dan menghalang air pasang memasuki sistem perparitan akan dibina bagi menangani banjir kilat yang sering berlaku di kawasan rendah sekitar bandar raya ini, khususnya di Lido.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Yahiya Awang Kahar, berkata kolam itu adalah sebahagian daripada Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Persekitaran Kawasan Lido bernilai RM76 juta yang dijangka dimulakan sebelum akhir tahun ini.

Beliau berkata, kolam berkenaan akan dibina berhampiran Sungai Petagas, dekat perumahan Cybercity di Kepayan, di sini.

“Projek berkenaan sedang dalam proses untuk tender dan kita menjangka semua proses dapat disiapkan dalam tempoh tiga bulan. Projek dijangka dapat dimulakan sebelum akhir tahun ini.

“Kerja utama ialah membina kolam takungan dan pintu air bagi menghalang air pasang memasuki sistem perparitan ketika hujan lebat kerana punca banjir kilat di kawasan ini ialah hujan lebat yang bertembung dengan fenomena air pasang,” katanya.

Yahiya berkata, kolam takungan berkenaan berfungsi menampung air banjir sebelum dilepaskan ke sungai ketika air surut.

Beliau berkata, projek itu turut membabitkan kerja menaik taraf sistem perparitan sedia ada bagi memastikan aliran air hujan yang lancar.

Minggu lalu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin, berkata RTB Persekitaran Kawasan Lido dilaksanakan bagi mengatasi banjir kilat di kawasan Lido, Kepayan dan Kampung Sodomon.

Katanya, ia adalah sebahagian daripada rancangan jangka panjang JPS bagi mengurangkan masalah banjir kilat di bandar raya ini, selain beberapa lagi RTB baharu termasuk RTB Sungai Manggatal.

Kawasan Lido dan beberapa kawasan rendah di sekitar bandar raya ini, termasuk pekan Manggatal dilanda banjir kilat baru-baru ini berikutan hujan lebat yang bertembung dengan fenomena air pasang.

Leave a Reply

Top