MH Online

Laman Suara Rakyat

KKMM Terima Lebih 200 Aduan Mengenai Pemprosesan Data Peribadi

Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Jabatan Perlindungan Data Peribadi Malaysia (JPDPM) menerima 233 aduan berkaitan pemprosesan data peribadi sejak 2013 sehingga semalam.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Jailani Johari memberitahu Dewan Negara daripada jumlah itu, 20 peratus atau 43 aduan telah diselesaikan.

Menjawab pertanyaan Senator Datuk Seri Khairudin Samad, Jailani berkata JPDPM menerima 140 aduan untuk tahun ini, 34 aduan pada tahun lepas, tahun 2014 (53 aduan) dan tahun 2013 hanya enam aduan diterima.

“Antara aduan yang diterima seperti memproses data peribadi tanpa persetujuan, data peribadi digunakan bagi tujuan pemasaran langsung, kekeliruan mengenai Terma dan Syarat yang terkandung di dalam Notis Privasi.

“Selain pelanggaran Prinsip Keselamatan, perkongsian data peribadi tanpa persetujuan subjek data,” katanya.

Bagaimanapun, Jailani berkata sepanjang tahun ini JPDPM tidak menerima aduan mengenai penjualan data peribadi yang dilakukan syarikat telekomunikasi.

“Sekiranya aduan tersebut diterima dan disertakan dengan butiran lengkap oleh pengadu, JPDPM dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menjalankan siasatan terperinci dan menyiasat di bawah Seksyen 130 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709),” katanya.

Jika sabit kesalahan, ia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi tempoh tiga tahun atau kedua-duanya, katanya.