Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > KKMM Edar 120,000 Pek Kesedaran Melalui Syarikat E-Hailing

KKMM Edar 120,000 Pek Kesedaran Melalui Syarikat E-Hailing

KUALA LUMPUR, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan bekerjasama dengan beberapa aplikasi pembelian dalam talian yang juga bertindak sebagai barisan hadapan, untuk menjalankan kempen memberi penerangan dan kesedaran mengenai COVID-19 kepada masyarakat.

Timbalan Menterinya Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, pihaknya kini bekerjasama dengan syarikat e-hailing Grab dan bakal meluaskan inisiatif itu dengan beberapa syarikat lain antaranya Lazada.

“Saya percaya sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) berkuat kuasa, masyarakat Malaysia terutamanya di Lembah Klang lebih selesa membuat pembelian menerusi aplikasi dalam talian.

“Menerusi kempen yang akan dijalankan sehingga PKP berakhir, masyarakat tidak kira pekerja barisan hadapan mahupun orang awam akan diberi lebih kesedaran berkenaan penjagaan kebersihan dan menggalakkan mereka untuk terus kekal di rumah bagi mencegah penularan pandemik COVID-19,” katanya dalam program Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini.

Zahidi menegaskan menerusi kempen itu, KKMM akan mengedarkan 20,000 unit pek mengandungi penutup mulut dan hidung, risalah, pelekat dan magnet peti ais mengenai pandemik itu kepada penunggang Grabfood, serta 100,000 pek lagi kepada pelanggan e-hailing itu.

PKP bermula pada 18 Mac lepasĀ akan memasuki fasa keempat, selepas dilanjutkan sehingga 12 Mei.

Leave a Reply

Top