MH Online

Laman Suara Rakyat

KKM Teliti Keputusan Benarkan Pelajar Pulang Ke Kampung

KKM Teliti Keputusan Benarkan Pelajar Pulang Ke Kampung

KUALA LUMPUR, Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneliti sebarang keputusan untuk membenarkan pelajar yang masih di kampus pulang ke kampung halaman masing-masing.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menjelaskan perkara itu penting kerana ia akan membabitkan pergerakan sejumlah besar pelajar jika mereka dibenarkan pulang.

“Kita menerima cadangan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagaimanapun kita perlu meneliti dengan lebih lagi kerana ia akan membabitkan pergerakan sangat besar.

“Oleh kerana jumlah begitu besar dan ada sebilangannya akan pulang ke Sabah dan Sarawak, kita minta KKM melihat perkara ini daripada segi kesan kepada kesihatan, bukan sahaja kepada pelajar malah kepada penduduk di kawasan asal mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya dekat sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan memahami kehendak pihak yang terbabit namun perkara itu perlu diteliti dengan lebih mendalam sebelum sebarang keputusan dibuat.

“KKM melaporkan berlaku penurunan dan tidak mahu perkara seperti ini menjejaskan usaha mereka dan akhirnya menyebabkan kes meningkat semula.

“Jadi kita mahu PKP ini kalau boleh ditamatkan mengikut perancangan yang dibuat KKM,” katanya.

Ismail Sabri berkata, setakat ini, lebih 80,000 pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta tinggal di kampus dan kolej sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan ia tidak termasuk dengan mereka yang tinggal di rumah sewa.