MH Online

Laman Suara Rakyat

mh online

KKLW Sedia Bantu Pelatih Kemahiran Ceburi Bidang Keusahawanan

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bersedia membantu pelatih program latihan kemahiran daripada agensi di bawah kementerian itu untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata KKLW menawarkan pembiayaan pinjaman perniagaan kepada mereka menerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Skim Pembangunan Ekonomi Desa (SPED).

“Kita bukan sahaja menyediakan pelbagai program latihan kemahiran dan vokasional malah turut beri galakan kepada mereka yang berminat menceburi bidang perniagaan dengan menyediakan pinjaman sebagai modal perniagaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini..

Terdahulu, Ismail Sabri menyampaikan sijil program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) dalam bidang industri pelabuhan kepada 100 pelatih kemahiran di Westport (M) Sdn Bhd (Westport) di sini.

Westport merupakan antara syarikat industri pelabuhan dan kontena yang terlibat dalam kursus PLKK seliaan kementerian itu.

KKLW menyediakan pelbagai program latihan kemahiran menerusi agensi di bawahnya antaranya GiatMara, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dengan bilangan keseluruhan pelatih melebihi 30,000 orang merangkumi kursus jangka panjang, sederhana dan jangka pendek.