Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > KKLW Peruntuk RM28 Juta Untuk 500 Projek Usahawan

KKLW Peruntuk RM28 Juta Untuk 500 Projek Usahawan

MACHANG, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memperuntukkan sejumlah RM28 juta bagi melaksanakan 500 projek pembangunan usahawan di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Timbalan Menterinya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata projek itu akan dilaksanakan di bawah program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET), pembangunan produk, premis perniagaan, pemasaran, pameran dan promosi serta jaringan strategik.

“Dianggarkan 2,000 usahawan baru akan dapat dilahirkan di seluruh negara menerusi pelbagai program yang dirangka dan ia akan dilaksanakan di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA),” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian RisSmart Merbau Chondong di sini, pada jumaat.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan Risda Halimah Abd Kadir dan Pengarah RISDA Kelantan Rusly Yaacob.

Ahmad Jazlan yang juga anggota Parlimen Machang berkata projek itu penting bagi memastikan usahawan terutama di bawah kendalian Risda kekal bersaing pada masa depan dengan memberi nilai tambah kepada produk mereka bagi meningkatkan keupayaan dalam pasaran tempatan dan luar negara.

Beliau berkata pada masa yang sama, RISDA turut menyediakan platform bagi membantu usahawan untuk memasarkan produk mereka dengan menyediakan bantuan premis perniagaan.

Katanya premis perniagaan itu merangkumi pembinaan premis baharu, premis yang disewa atau pembelian premis baharu sebagai tempat perniagaan.

“Setakat ini kita telah membina tujuh ‘Smallholder Mart’ di Johor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu.

“Bagi meningkatkan produktiviti pemasaran produk, RISDA turut menjalankan pelbagai program untuk memperoleh hasil yang cepat dengan memberi latihan dan peralatan yang diperlukan selepas mereka tamat mengikuti bengkel Pembangunan Vendor, Mentor Mentee, Groom Big, Rakan Niaga dan Integrator,” katanya.

Leave a Reply

Top