Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > KJ Tidak Melihat Perkara Sebenar

KJ Tidak Melihat Perkara Sebenar

KUALA LUMPUR, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mempersoalkan tindakan bekas Ketua Pemuda parti itu, Khairy Jamaluddin yang menyifatkan ucapan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiada hala tuju jelas.

Katanya, Khairy tidak melihat perkara yang sebenar dalam Ucapan Dasar Presiden, sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 (2018), malam tadi.

“Ucapan sangat jelas cuma sama ada kita tak jelas atau sebaliknya bergantung kepada penghayatan masing-masing.

“Ada dua hala tuju penting (dalam ucapan), iaitu pertama, kuatkan parti dan kedua strategi bagaimana untuk kembali menang,” katanya kepada media, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Malam tadi, Khairy yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau yang mana Mohamad adalah Ketua Bahagiannya dilaporkan berkata, ucapan dasar Presiden UMNO tidak memberikan gambaran yang jelas hala tuju parti Melayu itu.

Khairy mendakwa Ahmad Zahid tidak memperincikan sama ada mahu menjadi pembangkang yang kuat atau mahu membentuk kerajaan perpaduan dengan parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH).

Ucapan berkenaan turut didakwa tidak memberi fokus hala tuju yang diharapkan oleh parti, selepas UMNO kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

Khairy juga mendakwa pendirian Ahmad Zahid sering berubah, beberapa hari sebelum perhimpunan mengeluarkan kenyataan mahu membentuk kerajaan perpaduan dengan parti komponen dalam PH dan kemudian mengatakan mahu melawan PH.

Mohamad berkata, pendirian UMNO mahu bangkit kembali sangat jelas dan tidak perlu dipertikaikan.

“Kita mahu menjadi pembangkang yang kritikal, kenapa perlu kita tolak jika ditawarkan kerajaan perpaduan?,” katanya.

Leave a Reply

Top