Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Kit Siang Tidak Pernah Kotakan Janji

Kit Siang Tidak Pernah Kotakan Janji

KUALA LUMPUR, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang tidak pernah mengotakan janji berundur dari dunia politik walaupun banyak kali mengucapkannya.

Menurutnya, pada 10 Mei 2019, semasa Pilihan Raya Kecil Parlimen Sandakan, Kit Siang mengajaknya bertaruh sama ada Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ataupun tidak.

Katanya, taruhan itu dibuat ekoran kenyataannya yang tidak yakin bahawa Dr Mahathir akan menunaikan janjinya untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar selepas dua tahun.

“Kit Siang berkata bahawa beliau lebih mempercayai Dr Mahathir. Sebagai taruhannya, beliau akan bersara daripada politik dan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya Dr Mahathir tidak menunaikan janjinya.

“Cabaran beliau ialah untuk saya menarik diri daripada politik dan tidak bertanding dalam PRU15,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun katanya, walaupun ramalan Kit Siang meleset, namun pemimpin yang disifatkan sebagai ‘supremo’ politik DAP itu ingkar dengan janjinya untuk berundur.

“Pada hari ini 10 Mei 2020, Anwar menjadi Ketua Pembangkang. Dr Mahathir bertarung untuk menyelamatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Kit Siang kembali menjadi Ahli Parlimen pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Mohamad lagi, Kit Siang tidak pernah terlepas bertanding dalam PRU seolah-olah DAP tidak boleh ke mana-mana tanpanya.

“Perjalanan politik beliau selalu diwarnai dengan taruhan, janji palsu dan kemungkiran kerana itu saya tidak suka bertaruh dengan beliau kerana saya tahu, taruhan politik beliau harganya ialah kemungkiran.

“Hari ini, saya menunggu ajakan beliau bertaruh semula. Entah apa pula cabaran beliau untuk saya kali ini,” katanya.

Leave a Reply

Top