Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Kisah Panjang Perjalanan Balik Ke Kampung

Kisah Panjang Perjalanan Balik Ke Kampung

Tarikh 10 Ogos 2019, menjadi sejarah hidup saya dan keluarga kerana buat pertama kalinya perjalanan dari rumah kami ke rumah keluarga isteri mengambil masa selama 24 jam.

Mengikut jangkaan aplikasi Waze, di dalam situasi yang sempurna, jarak 448 km dari rumah kami di Puchong, Selangor ke rumah keluarga isteri di Tanah Merah, Kelantan bakal mengambil masa dalam 6 jam 14 minit. Jangkaan masa ini boleh dikatakan realistik kerana kami telah banyak kali pulang ke kampung di dalam jangka masa yang sama.

Sudah tentunya apabila musim perayaan tiba, keadaannya menjadi jauh berbeza. Kami jangkakan pertambahan masa perjalanan dalam 5 jam. Selalunya kami berjaya mengelakkan diri dari terbelenggu di dalam kesesakan melampau dengan pulang beberapa hari lebih awal dari tarikh cuti am. Namun, tahun ini kami terpaksa pulang sehari sebelum Hari Raya Aidiladha atas urusan kerja.

Persediaan.

Persediaan awal telah dilakukan beberapa hari sebelum pulang. Isteri saya sudah siap kemas baju dan kelengkapan yang ingin dibawa. Saya pula bertarung dengan sakit gigi dan terpaksa cabut 2 batang gigi sehari sebelum hari untuk bertolak. Kalau tidak diselesaikan, ianya bakal mendatangkan masalah di dalam perjalanan dan di kampung. Sakit gigi ini bukan boleh dibawa bincang.

Selesai masalah sakit gigi, keperluan kenderaan pula diselesaikan. Minyak pun sudah diisi penuh. Saya singgah di kedai borong biskut untuk membeli sedikit makanan ringan untuk dikongsi di kampung. Terdetik pula nak beli Apollo kek lapis tu satu kotak. Ada perasaan yang mungkin nanti akan lapar masa bawa kereta dan kek tu boleh dimakan anak-anak juga.

Kemudian singgah di 99 Speedmart, beli pula air mineral 1.5 liter 1 karton. Mudah sikit nak minum di kampung nanti. Kali ini semua adik beradik ipar balik. Mesti ramai dan mesti air minum tak cukup nanti.

Pulang kerja jam 11 malam, suasana sudah gelap dan anak-anak sudah tidur seperti yang dirancang. Saya disambut isteri yang nampak gembira tetapi mengantuk.

Tepat jam 5 pagi, saya bangun dan kejutkan isteri. Sempat periksa live cctv keadaan di tol Gombak. Masih amat sesak. Saya positifkan diri dan terus mandi.

Sedang isteri siapkan anak-anak, saya ditemani Jasmine membawa beg dan barang ke kereta. Dua kali trip diperlukan untuk siap semua barang disusun rapi di dalam boot dan tempat duduk. Jujur saya katakan, ini kali pertama saya berjaya menyusun rapi beg balik kampung. Selalunya isteri saya yang susunkan.

Perjalanan Bermula.

Selesai Subuh, kami terus bergerak. Singgah sebentar membeli sarapan di gerai berdekatan rumah. Menjadi kebiasaan kami makan dalam kereta. Cuma kali ni ada Daisy yang mungkin memberi sedikit cabaran kerana tangannya tak reti duduk diam.

Perjalanan sangat lancar tanpa kesesakan. Tetapi di dalam hati saya sentiasa rasa yang kami masih belum diuji lagi.

Jangkaan saya tepat sekali. Setibanya beberapa kilometer dari Tol Gombak, kenderaan sudah mula padat. Pergerakan mulai sangat perlahan dan kemasukan ke Tol Gombak hampir seperti tidak bergerak.

Kesempatan ini saya gunakan untuk bersarapan. Nasi goreng berlaukkan telur mata bersama sambal menjadi menu sarapan. Mudah nak suap sebab kereta bergerak terlalu perlahan. Banyak berhenti dari bergerak.

Jam 8.10 minit pagi, selepas 2 jam sejak kami mula bertolak dari Puchong, kami mula meninggalkan Tol Gombak. Kami masih positif. Keadaan ini masih boleh diterima, pujuk saya dalam hati.

Untuk menghilangkan kebosanan, kami buat LIVE Facebook dan berbual dengan friends dan followers. Sedang asyik live, tiba-tiba rasa macam nak ke tandas pula. Kopi sejuk stevia PapaRich yang kami bawa tadi menjadi punca utama. Tandas Petronas menjadi hentian pertama kami.

Walaupun perlu beratur seketika, saya tetap mahu tunggu. Dalam kepala, saya sentiasa terfikirkan yang perjalanan ini akan menjadi panjang dan tidak semestinya akan ada peluang untuk melepaskan hajat nanti.

Perjalanan diteruskan dengan pergerakan yang perlahan. Sepanjang perjalanan, terdapat 3 atau 4 kenderaan yang rosak di tepi jalan. Ternampak suami di hadapan kenderaan dengan telefon dan isteri di dalam kenderaan menenangkan anak-anak. Hampir semua situasinya begini. Hati kami bergolak mahu membantu tetapi kami sendiri pun sudah penuh satu kereta.

Kami lalui Bentong dan Raub seperti biasa. Walaupun kenderaan banyak dan perlahan, tetapi semuanya masih bergerak. Saya berhenti sebentar di Shell yang saya dah lupa kat mana. Tak tahu kenapa, tapi saya rasa macam nak sangat guna tandas di sini. Yang lain di dalam kereta masih lagi belum rasa untuk ke tandas.

Baru sahaja nak masuk ke tandas, seorang pakcik tua berbangsa Cina di atas motor buruk datang menghampiri saya dan meminta bantuan. Ramai je orang di situ tetapi dia terus ke arah saya. Beliau mahu pulang katanya tetapi tidak mempunyai wang yang cukup untuk mengisi minyak. Pasti orang berdekatan sahaja ni sebab dengan motor buruk dan tiada beg langsung. Saya pun berikan wang yang cukup untuk beliau isi minyak. Keluar dari tandas, saya lihat dia sedang asyik mengisi minyak. Kami tidak sempat bertanya nama atau apa-apa benda yang lain pun. Semoga urusannya dipermudahkan bisik saya dalam hati.

Meneruskan perjalanan, kami berbual dan menyanyi. Sekali lagi sesi Facebook LIVE diadakan. Kali ini kami siap karaoke lagi. Ini kali pertama kami menyanyi di khalayak ramai. Hahaha…

Masalah Yang Berat.

Selesai sesi memanggil hujan, isteri dan anak saya pula telah memberi tanda yang mereka perlu ke tandas. Petron Batu 4 berhampiran bandar Kuala Lipis menjadi persinggahan kami yang kedua. Tanpa disedari, rupanya sudah 11 jam perjalanan kami dari Puchong.

Ada masalah yang sangat besar di sini. Tandas di dalam kedai tidak boleh digunakan dan tandas di luar tiada air. Saya hanya perhatikan anak dan isteri beratur menunggu giliran. Ada dua tandas kiri dan kanan. Tiada tanda tandas lelaki atau perempuan. Namun kedua-duanya tiada air. Mereka kembali ke kereta megambil air untuk digunakan.

Ada juga beberapa orang datang ke tempat mereka berbaris menghulurkan air kepada pasangan yang sedang beratur. Tetapi ada juga yang tiada bekalan air langsung dan kelihatan sugul kerana terpaksa kencing tanpa menggunakan air. Mungkin kerana tidak tahan, mungkin juga kerana tidak ada air di dalam kereta.

Selepas isteri dan anak saya selesai. Saya terus meluru ke arah tandas itu untuk mengesahkan apa yang saya fikirkan tadi. Ternyata memang benar tiada air. Bau hancing sedikit sebanyak mengisi ruang udara di hadapan tandas. Tanpa melengahkan masa, saya masuk ke kedai dan nampak susunan botol air mineral beberapa karton saiz kecil dan besar. Kelihatan ramai di kaunter membeli air mineral botol besar. Mungkin untuk kegunaan di tandas.

Staff di sana memaklumkan satu Kuala Lipis tiada air dan mereka sudah meminta lori air untuk datang. Nampaknya masalah ini pasti berpanjangan fikir saya. Terus saya ambil air mineral bersaiz kecil satu karton. Agak terkejut juga dengan harga RM25 untuk satu karton. Di 99 Speedmart, tidak lebih dari RM10 pun.

Saya keluar dari kedai sambil berpesan kepada semua yang di kaunter supaya mengambil air yang akan saya tinggalkan di depan tandas. Saya juga beritahu yang saya berharap akan ada lagi yang membantu sebegini.

Satu karton air diletakkan di hadapan tandas dan saya terus mempelawa orang yang beratur mengambilnya untuk digunakan. Ramai yang berterima kasih dan menarik nafas lega kerana ada air untuk mereka. Selepas selesai urusan saya, saya berkata kepada mereka yang saya berharap akan ada lagi yang akan sambung benda yang sama apabila air itu habis. Hanya 1 orang diperlukan untuk membantu mungkin 10-20 orang. Jika hanya 2, 3, 4 atau 5 orang yang buat, hampir 100 orang atau lebih pun boleh gunakan tandas itu dengan air bersih. Kebersihan tandas dan kebersihan diri pun terjaga.

Walaupun minyak masih banyak, saya ambil keputusan untuk isi juga hingga penuh. Saya sentiasa rasa lebih baik penuh dari menghadapi masalah kekurangan minyak nanti.

Apabila meneruskan perjalanan, saya tanya isteri saya. Nampak ke saya masuk ke kedai tadi? Dia pada mulanya ingat saya masuk ke kedai untuk guna tandas di dalam, kerana dia tahu yang tandas di dalam tidak boleh digunakan. Tetapi apabila dia nampak saya keluar dengan air mineral satu karton, terus dia berdoa supaya saya dilimpahi rezeki yang banyak kerana dia tahu saya sentiasa mahu memudahkan urusan orang lain.

Saya sendiri terfikir, dalam beratus orang yang berhenti menggunakan tandas tanpa air itu, hanya saya yang terdetik nak bantu orang lain pada masa itu. Bukan nak berbangga atau menunjuk, tetapi situasi ini berkali-kali jadi pada kami. Kami sentiasa “diberi peluang” sebegini. Seperti sentiasa diuji dengan apa yang kami ada sekarang.

Kami tinggalkan Petron itu dengan doa supaya dipermudahkan urusan semua orang.

Lebuhraya baru Kuala Lipis, Merapoh untuk ke Gua Musang bermula dengan hebat. Laju kereta kami menyusuri lebuhraya ini. Dapat juga rehatkan kaki yang sentiasa menekan pedal brek dan minyak.

Bottleneck Yang Membinasakan !

Tiba-tiba, dalam 10 km sebelum sampai exit Merapoh banyak kenderaan di hadapan berhenti. Ada satu Hilux menggunakan lorong kecemasan untuk berundur. Tidak pasti mengapa. Kami sendiri pun terpinga-pinga. Ade kemalangan ke? Ade kecemasan ke?

Dalam beberapa minit, Hilux hitam tadi meluru pula ke hadapan menggunakan laluan kecemasan juga. Pelik sungguh.

Kami biasa lalu sini. Memang dua laluan akan menjadi satu di hadapan. Apabila lihat di aplikasi waze, rupanya di jalan lama pun sesak. Jadi, tiga laluan akan menjadi satu. Inilah yang dipanggil “bottleneck”, keadaan di masa ruang yang besar menjadi sempit seperti leher botol.

Memahami konsep tersebut, kami sudah boleh terima yang perjalanan ini akan menjadi lebih lama. Mujurlah minyak sudah diisi penuh dan air mineral ada 1 karton di belakang kereta.

Masalah utama kami ialah belum makan tengahari. Nak juga saya berhenti tadi tetapi isteri kata tak perlu lagi. Sampailah di sini, kami terpaksa mengisi perut dengan kek lapis Apollo, keropok dan air.

Waze pada mulanya menunjukkan yang kami akan tiba di kampung pada jam 10 malam. Kemudian ditambah menjadi 11 malam, 12 malam dan ianya tidak berhenti menambah ETA (jangkaan masa tiba).

Jarak untuk sampai ke exit Merapoh hanya 9km tetapi sudah berjam-jam kami di sini. Menyedari masalah ini, saya berhentikan kenderaan di tepi. Kelihatan beberapa kenderaan lain juga berhenti. Ada yang mahu menghilangkan lenguh, ada yang menemani anak kecil kencing dan ada yang mahu merehatkan kereta. 13 jam sudah berlalu saat kami mula bertolak pagi tadi. Lebih baik berhenti dan matikan enjin supaya tidak mengundang kebarangkalian lain nanti.

Lebih kurang 10 minit berehat. Kami meneruskan perjalanan. Seperti tidak ada langsung perbezaan dari tadi. Kenderaan padat dan bergerak terlalu perlahan.

Keadaan Cemas!

4 jam selepas itu, kami masih di dalam situasi yang sama. Tumit saya mulai kebas, jari kaki dan betis mulai sakit, peha dan tangan mulai lenguh dan saya rasa seperti sangat tidak selesa. Fikiran saya menjadi amat risau. Berapa lamakah lagi perjalanan ini? Kenapa saya berada di dalam situasi ini? Adakah apa yang sedang kami lalui ini benar? Saya seakan tidak mempercayai yang kami sudah 17 jam berada di dalam kereta.

Saya jadi sedikit tertekan. Walaupun pendingin hawa sejuk, saya jadi berpeluh. Rusuk ni pulak jadi seperti nak kejang. Tak boleh jadi ni. Saya perlu berhenti seketika. Mungkin badan dan minda saya terkejut dengan apa yang berlaku ni.

Selepas mengelak beberapa kenderaan otak udang yang potong barisan dengan menggunakan laluan kecemasan, barulah saya dapat berhenti dengan selamat di tepi. Saya turunkan tingkap sedikit dan matikan kenderaan di belakang kenderaan lain yang sudah berhenti dari tadi.

Peluang ini saya ambil untuk melepaskan kepenatan badan dan minda. Deretan kereta dengan pelbagai jenis manusia saya perhatikan. Ada yang mukanya masam, ada yang berbual-bual, ada yang bertegur sapa dengan saya. Ramai yang saya sarankan berhenti dulu.

Saya lihat kereta yang berhenti di hadapan, dari tadi sudah membuka bonet depan. Tuan empunya kereta memberitahu yang suhu keretanya sudah naik. Saya lihat ramai anak kecil di dalam kereta. Terdengar dia risau kerana air mineral mereka sudah habis. Air itu perlu untuk ditambah ke dalam radiator. Saya terus tawarkan air mineral kepada dia. Nampak sedikit lega di raut wajah dia. Selepas itu, kami pun bersalaman dan saya teruskan perjalanan. Semoga urusan dia dipermudahkan.

Satu jam selepas itu barulah kami sampai ke exit Merapoh. Di sini kami lihat sendiri punca sebenar kenapa kami terpaksa menghabiskan masa 5 jam di dalam kesesakan. Bottleneck itu benar. TIga laluan menjadi satu. Ditambah pula dengan kebodohan rakyat Malaysia yang memotong barisan membuatkannya bertambah sesak. Betapa sakitnya hati ini melihatkan perangai manusia yang mementingkan diri sendiri sebegini. Mereka tidak faham yang mereka menyusahkan orang lain.

Walaupun saya cuba untuk bersangka baik, mungkin yang potong barisan itu ada kecemasan atau minyaknya tinggal sedikit, tetapi apabila melihat sendiri kenderaan itu sebenarnya tidak menghadapi apa-apa masalah pun, sangat mengecewakan saya. Semoga orang sebegini tidak terus meracuni fikiran orang lain.

Selepas exit Merapoh, kenderaan masih lagi sesak tetapi bergerak. Banyak juga kenderaan sudah berhenti di tepi jalan untuk berehat selepas menghadapi 6 jam kesesakan melampau.

Rehat Yang Terlalu Diperlukan.

Jam 1 pagi, selepas 19 jam perjalanan dari rumah, akhirnya kami sampai di RnR Gua Musang. Anak dan isteri berehat sebentar di dalam kereta. Saya seorang sahaja yang keluar dan makan sambil meregangkan semua otot yang kepenatan.

Dari Gua Musang ke Tanah Merah bakal mengambil masa lagi 2 jam lebih. Dalam keadaan ini, fikiran saya berkecamuk. Walaupun hanya 2 jam lagi tetapi badan dan minda saya sudah tidak mampu lagi. Saya tidak mengantuk tetapi sangat kepenatan.

Nescafe dan nasi goreng jadi pilihan untuk mengisi perut. Selepas itu singgah di kedai di situ untuk membeli panadol extend. Saya beli roti dan coklat untuk sedikit anjakan tenaga sebelum memulakan kembali perjalanan.

Sekembalinya saya ke kereta, isteri saya pula keluar ke tandas. Semasa menunggu dia kembali, saya terfikir untuk tidur sahaja di mana-mana hotel di Gua Musang sebelum menyambung perjalanan pagi atau tengahari nanti. Tetapi esok adalah Hari Raya Aidiladha. Kami akan terlepas semuanya jika memilih untuk tidur dahulu. Tetapi saya sudah tidak mampu lagi. Dalam kepala terbayang kekecewaan isteri jika dia tidak dapat ber pagi raya dengan keluarganya.

Semasa isteri sedang menikmati nasi goreng yang saya bungkus tadi, hasrat di hati saya luahkan. Ternyata dia juga sangat letih dan bersetuju dengan cadangan itu. Berkali-kali saya tanya betul ke, tidak apa ke? Jawapannya kekal sama. Anak dan isteri juga memang sangat letih.

Beberapa ketika kemudian, kami memulakan misi mencari hotel pada pukul 2 pagi. Habis satu bandar Gua Musang kami pusing, semua hotel penuh dan ada yang tidak buka langsung. Dalam kepenatan dan kekecewaan, kami teruskan juga perjalanan ke Tanah Merah.

Dalam perjalanan, kami berhenti di satu Shell sebelum sampai bandar Kuala Krai. Cadangnya untuk berhenti tidur tetapi selepas ke tandas dan mengisi minyak supaya kembali penuh, mata seakan tidak mengantuk lagi.

Memandangkan kawasan di Shell tersebut pun penuh dengan kenderaan yang berhenti. Saya gagahkan juga untuk teruskan perjalanan. Ternyata keputusan itu kurang bijak kerana saya menjadi terlalu mengantuk dan tidak dapat memandu dengan selamat lagi. Isteri saya sudah terlalu penat dan sudah tidur.

Demi keselamatan, saya berhenti di Petron simpang besar di Machang. Saya tahu hanya 30 minit sahaja lagi perjalanan untuk sampai. Tetapi sampai di sini sahaja sisa tenaga yang ada.

Tingkap dibuka sedikit dan saya terus lelapkan mata. Tidak peduli pukul berapa akan saya bangun asalkan dapat tidur.

Tepat jam 6 pagi, saya terjaga dan terus masuk gear dan bergerak. Sementara mata kembali segar ni, lebih baik saya teruskan. Isteri saya agak risau takut saya tidak cukup tidur, tetapi saya yakinkan dia yang saya boleh.

Akhirnya, dalam 6:30 pagi, 24 jam selepas kami mula bertolak dari Puchong pada pukul 6:15 pagi, kami pun sampai di kampung isteri, Tanah Merah, Kelantan.

Selepas bersalaman, bawa keluar barang yang penting sahaja dulu dan Subuh, kami terus tidur.

Anak dan isteri bangun lebih awal, saya bangun selepas Zuhur rasanya. Badan masih sakit, kepala masih pening, keadaan seperti zombie yang tidak boleh fokus dengan betul. Inilah dia yang terjadi kepada badan dan minda seorang pemandu selepas 24 jam perjalanan dengan kereta.

Walaupun kemeriahan raya banyak yang saya terlepas, tetapi saya amat bersyukur kerana telah selamat membawa keluarga beraya dengan keluarga isteri. Anak dapat berjumpa dengan Tok dan Meknya. Isteri pun dapat beraya dengan ibu dan bapanya sendiri serta semua adik beradik yang kebetulan semua dapat balik tahun ini.

Alhamdulillah kami semua selamat dan walaupun perjalanan ini mengambil masa 24 jam, saya tetap rasa ianya telah dipermudahkan. Kami selamat, kami gembira di dalam kereta, kami tidak terlalu kelaparan, air minuman cukup, kereta dalam keadaan baik, minyak yang sentiasa mencukupi dan dapat juga memudahkan urusan ramai orang di dalam perjalanan. Dan tak lupa juga, mujurlah saya dah cabut gigi sehari sebelum bertolak. Tak dapat bayangkan perjalanan 24 jam ini dengan gigi yang sakit.

Inilah pengalaman yang akan kami kenang sampai bila-bila. Semoga ianya menjadi pedoman kepada semua yang berjaya membaca sehingga habis.

Yang paling penting, balik nanti kami akan pastikan minuman dan makanan penuh dalam kereta, rehat yang cukup dan minyak kereta sentiasa diisi setiap kali berhenti. Saya takkan tunggu-tunggu untuk ke tandas. Jumpa je tempat yang sesuai, berhenti.

Kredit: Akhtar Syamir

Leave a Reply

Top