MH Online

Laman Suara Rakyat

Kingsley Serba Salah Selepas Jaringkan Gol

Kingsley Serba Salah Selepas Jaringkan Gol

Kingsley Coman mengakui dia berasa “sedikit pening kepala” selepas jaringannya menamatkan impian kelab diminatinya ketika kecil, Paris Saint-Germain untuk menguasai Eropah.

Coman yang dilahirkan di Paris, menanduk masuk gol tunggal perlawanan di Estadio da Luz dekat Lisbon ketika Bayern Munich menjuarai Liga Juara-Juara seterusnya dimahkotakan selaku pasukan terbaik benua itu buat kali keenam.

“Ia perasaan yang menakjubkan, terlalu banyak kegembiraan dan sedikit kesedihan buat Paris, mereka melaluinya dengan hebat,” kata Coman kepada penyiar Perancis, RMC.

“Hati saya 100 peratus buat Bayern kerana saya 100 peratus profesional tapi saya tidak akan berbohong, untuk melihat Presnel (Kimpembe) seperti itu, melihat pasukan kami seperti itu, memberikan saya sedikit pening kepala.

“Bayern menang tapi anda perlu menghormati apa yang sudah dilakukan Paris.”

Kekalahan 1-0 buat PSG, kelab disertai Coman ketika berusia lapan tahun pada 2004, bermakna mereka masih belum merasai kejayaan yang paling dimahukan kelab dimiliki Qatar itu.

Sementara itu Bayern memperkukuhkan penguasaan mereka di Eropah selepas melengkapkan trebel kedua Bundesliga, Piala Jerman dan Liga Juara-Juara namun Coman berkata pengalaman itu tidak dikira dalam final.

“Saya rasa perkara kecil boleh mendatangkan kesan, tapi bukan itu sahaja dalam perlawanan ini,” katanya.

“Paris bermain sangat bagus, sama seperti kami, saya rasa ia final yang hebat dan kami sangat gembira.” – AFP