MH Online

Laman Suara Rakyat

Kimanis Dan Isu PSS

Kimanis Dan Isu PSS

Oleh : Musli Oli

Ramai minta saya mengulas tentang PRK Kimanis. Ada kawan dari pihak pemerintah, ada juga dari pembangkang minta pandangan saya kerana kata mereka saya kelihatan tidak memihak dalam memberi pandangan. Mulanya saya simpan komen sehingga calon diumum. Tetapi oleh kerana hampir setiap hari ada yg bertanya maka saya beri jawapan begini.

Politik itu adalah tentang isu. Kerajaan BN yang memerintah lebih 60 tahun tumbang kerana gagal menangani isu 1MDB dan lain-lain isu penyalahgunaan kuasa. Kerajaan BERJAYA di Sabah pada pertengahan 80an tumbang kepada parti politik PBS yang berusia kurang 2 bulan kerana isu Pulau Labuan dan isu kepentingan suku majoriti kadazan dusun. Walaupun 5 tahun sebelum itu BERJAYA menang 45 daripada 48 kerusi DUN SABAH.

Bila ada isu yang tidak memihak kepada parti pemerintah, perkara-perkara mustahak seperti soal pembangunan dan kemajuan ekonomi tidak lagi relevan ketika rakyat membuat keputusan dipeti undi. Sikap pengundi lebih dipengaruhi sentimen dan emosi.

Perkiraan utama pengundi Kimanis bukan lagi soal menyokong parti kerajaan atau parti pembangkang, tetapi lebih terarah kepada isu-isu mutakhir yang sedang panas seperti pemberian Pas Sementara Sabah atau PSS. Banyak lagi isu lain namun isu PSS bakal menjadi pertaruhan utama barisan parti pembangkang kelak.

Terpulanglah bagaimana parti WARISAN menangani isu dan memberi penjelasan kepada pengundi Kimanis. Jika kerajaan Sabah berjaya menjelaskan dengan baik dan diterima pengundi Kimanis terutama lebih dua puluh tujuh peratus pengundi aktif dari masyarakat kadazan dusun maka peluang WARISAN menawan Kimanis adalah cerah. Sebaliknya jika mereka gagal berbuat demikian, Kimanis bakal menyaksikan kemenangan majoriti yang bertambah kepada parti pembangkang.