Peluang skuad Harimau Malaysia mara ke separuh akhir Piala AFF Suzuki 2016 masih terbuka walaupun tewas 0-1 kepada Vietnam pada aksi kedua Kumpulan B di Stadium Thuwunna, di sini, Rabu.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan Datuk Ong Kim Swee berkata beliau berpuas hati dengan prestasi ditampilkan anak buahnya, sambil mengakui pihak lawan mempamerkan aksi lebih mantap pada perlawanan itu yang berlangsung dalam cuaca panas terik mencecah 34 darjah celsius.

“Kita tewas kepada pasukan lebih baik, namun kita hilang tumpuan pada minit-minit akhir permainan sehingga menyebabkan kita kalah.

“Kita perlu menewaskan (tuan rumah bersama) Myanmar untuk layak ke separuh akhir pada aksi terakhir kumpulan bagi menghidupkan peluang,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan berkenaan.

Pemain tengah, Nguyen Trong Hoang muncul wira skuad ‘Golden Stars’ itu apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-79 selepas berlaku kekalutan dalam kawasan penalti pasukan negara.

Berkongsi pandangan sama dengan Kim Swee ialah penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat bahawa kemenangan ke atas Myanmar adalah sangat penting bagi menghidupkan peluang skuad negara mara ke separuh akhir.

“Peluang kita layak ke separuh akhir masih terbuka…kami (pemain) tidak berdepan tekanan bagi menghadapi aksi terakhir kumpulan bertemu Myanmar pada Sabtu ini,” kata penjaga gol Kelantan itu.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Vietnam, Nguyen Huu Thang memuji pemainnya yang mempamerkan semangat juang tinggi beraksi di bawah cuaca panas terik walaupun ada kalangan pemain gagal menampilkan prestasi terbaik bermain dalam keadaan tersebut.

“Ia perlawanan yang sukar kerana penyerang kami dikawal ketat pertahanan  Malaysia, dan penyerang lawan juga agak berbahaya ketika perebutan bola di udara. Kami bernasib baik dapat menjaringkan gol dan saya mengucapkan tahniah kepada pemain atas kemenangan itu,” katanya.

Nguyen berkata beliau tetap akan memberi fokus terhadap perlawanan berdepan pasukan tercorot kumpulan, Kemboja di Stadium Wunna Theikdi di Naypyitaw pada Sabtu ini, daripada memikirkan lawan mereka di separuh akhir, nanti.

Sementara itu, tuan rumah bersama Filipina, Singapura dan Indonesia akan memburu satu lagi slot ke separuh akhir selepas juara bertahan, Thailand mengesahkan tempat ke peringkat berkenaan setelah mencatat dua kemenangan berturut-turut dalam aksi Kumpulan A di Manila, semalam.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *