Peserta Clever Girl Malaysia yang mewakili Pulau Pinang iaitu Noor Syakirah Mohd Azam (Kiera) memohon maaf terhadap kenyataan yang dibuat secara terbuka berkaitan tindakan dia menarik diri dalam program itu.

Graduan Sains Kejuruteraan dari Universiti Oxford itu berharap orang ramai berhenti membuat spekulasi negatif yang boleh menjejaskan rancangan terbitan Media Prima tersebut.

“Kiera berharap semua pihak yang terlibat dapat memberikan kerjasama menghentikan spekulasi-spekulasi negatif yang sedang menular di Internet.

“Dengan kesempatan ini saya menyampaikan hasrat memohon maaf kepada pihak yang terbabit secara langsung atau tidak,” ujarnya.

Kiera diminta mengulas tentang kenyataan terbukanya menerusi akaun Instagram Kieracatkingdom yang mendedahkan keputusan dia menarik diri disebabkan rasa kurang senang dengan pihak produksi program berkenaan.

Dalam kenyataan itu, dia memberitahu beberapa peserta kegemaran produksi sudah diberikan jawapan awal agar mendapat laluan mudah ke pringkat seterusnya.

Bagaimanapun, Kiera berkata, dia telah menarik balik kenyataan itu dan memadam status yang dimuat naik minggu lalu.

“Saya sudah padam status kenyataan itu dan bermakna saya menarik balik semula kenyataan berkenaan. Tambahan pula, saya sudah berjanji dengan produksi untuk tidak memberi sebarang komen terhadap keputusan penarikan diri tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kiera berkata, dia berterima kasih kepada penonton yang masih memberi sokongan kepadanya sepanjang terlibat dalam program tersebut.

Ketiadaan Kiera menjadikan enam peserta yang akan bersaing dalam pertandingan uji minda itu.

Program Clever Girl Malaysia terbitan Primeworks Studios Sdn Bhd (PWS) untuk TV3 bersiaran secara langsung pada hari Jumaat, pukul 9 malam hingga 10 malam.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *