Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Ketua Jabatan Perlu Jalani Kursus Peka Jantina

Ketua Jabatan Perlu Jalani Kursus Peka Jantina

KUALA LUMPUR, Ketua jabatan di setiap kementerian perlu menjalani kursus peka jantina, sejajar usaha menangani diskriminasi dan gangguan seksual.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata langkah mengetengahkan isu berkenaan mesti melangkaui penggubalan undang-undang yang menyasarkan isu terbabit.

“Masalah kesaksamaan jantina dan gangguan seksual tidak dapat ditangani dengan akta atau undang-undang tertentu semata-mata.

“Apa yang lebih penting ialah kempen berterusan untuk meningkatkan kesedaran mengenai peranan dan keperluan berbeza lelaki dan wanita berhubung gangguan seksual serta diskriminasi tanpa mengambil kira kedudukan atau pendidikan.

“Kita perlu bermula dengan semua ketua jabatan di setiap kementerian bagi mereka menjalani kursus peka jantina,” katanya menjawab soalan tambahan Maria Chin Abdullah (PH-PKR Petaling Jaya) di Dewan Rakyat, hari ini.

Maria Chin bertanya mengenai langkah kementerian bagi memastikan pegawainya lebih sensitif apabila diajukan isu gangguan seksual di tempat kerja.

Ia susulan laporan sebuah akhbar mengenai tindakan seorang ketua jabatan mengganggu doktor wanita secara seksual.

Hannah berkata, Kementerian Kesihatan tidak memerlukan laporan polis untuk memulakan siasatan isu terbabit dan berharap semua kementerian menerima aduan penjawat awam.

Katanya, kajian akan dibuat mengenai kewajaran menggubal undang-undang gangguan seksual dengan mendapat maklum balas masyarakat.

Mengenai kesaksamaan jantina, Hannah berkata, pihaknya mengadakan rundingan berterusan dengan pihak berkepentingan mengenai cadangan kandungan dan struktur undang-undang dicadangkan.

Leave a Reply

Top