Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Ketua Audit Mengaku Tidak Bersalah Tuduhan Rasuah

Ketua Audit Mengaku Tidak Bersalah Tuduhan Rasuah

KUALA LUMPUR, Ketua Audit Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menggunakan kedudukannya bagi meluluskan pembayaran RM17,600 menerusi sebut harga makanan, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Norazmi Jumali, 42, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rozina Ayob sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, Norazmi didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi Kelab Kebajikan Sukan dan Rekreasi BSVN (Surea) untuk mendapatkan suapan iaitu meluluskan pembayaran sebanyak RM17,600 kepada isterinya, Norasmiza Rusli.

Tertuduh menggunakan sebut harga MyKitchen Food Delivery (Homemade Cook & Halal) bagi pembayaran makan tengah hari untuk petugas konservasi catan dinding ‘Bas Relief’ di Masjid Diraja Sultan Suleiman Klang, Selangor.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lembaga Seni Visual, Jalan Tun Razak di sini pada 6 September 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Norazmi turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan pilihan iaitu dengan curang menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu MyKitchen Food Delivery berjumlah RM17,600 bertarikh 31 Oktober 2016 yang mana diketahui bahawa ia adalah dokumen palsu.

Kesalahan itu dilakukan di tempat sama, antara Oktober dan November 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin selain memohon supaya pasport tertuduh diserah kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peguam Nor Azri Mohd Arif dalam rayuan meringankan jaminan memohon supaya mahkamah memberi jaminan antara RM4,000 hingga RM5,000 kerana anak guamnya mungkin digantung kerja.

“Sekiranya digantung kerja, tertuduh hanya diberi separuh gaji dan ini akan menyebabkan anak guam saya berdepan masalah kewangan kerana perlu menyara tujuh anak yang masih kecil.

“Walaupun terdapat dua pertuduhan tetapi saya percaya mahkamah boleh menetapkan satu saja jumlah jaminan kerana ia membabitkan pertuduhan dan saksi yang sama,” katanya.

Rozina kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM6,000 dengan seorang penjamin manakala pasport diserah kepada mahkamah.

“Nama tertuduh disenarai hitam ke luar negara dan notis akan dikeluarkan kepada Imigresen. Tertuduh juga diarahkan lapor diri di pejabat SPRM Putrajaya, setiap bulan,” katanya.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 November 2019.

Leave a Reply

Top