MH Online

Laman Suara Rakyat

KeTSA Tidak Keluarkan Kelulusan Aktiviti Perlombongan Di Hutan Simpan Kekal

KeTSA Tidak Keluarkan Kelulusan Aktiviti Perlombongan Di Hutan Simpan Kekal

KUALA LUMPUR, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) tidak mengeluarkan sebarang kelulusan untuk aktiviti perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif di kawasan hutan simpan kekal, kata menterinya Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata kelulusan di kawasan selain dari Hutan Simpan Kekal adalah tertakluk kepada penilaian dan kelulusan teknikal yang diperoleh terlebih dahulu.

“Setakat ini, masih belum ada mana-mana pihak yang memohon dan diberikan kelulusan untuk menjalankan perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif.

“Mana-mana pihak yang melakukan perlombongan tanpa kebenaran dan kelulusan akan diambil tindakan mengikut sistem perundangan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, kawalan prosedur operasi standard (SOP) dan perundangan adalah penting bagi memastikan aktiviti berkaitan perlombongan berkenaan tidak memberi kesan negatif terhadap kelestarian alam sekitar, keselamatan, kesihatan pekerjaan dan kesejahteraan masyarakat.

Beliau berkata, kementerian akan terus memastikan aktiviti perlombongan diusahakan secara mampan dan perlu mematuhi SOP yang ditetapkan.

Menurutnya, ketika ini SOP perlombongan unsur nadir bumi dalam proses akhir untuk dimuktamadkan.