Anda di sini!
Utama > Luar Negara > Ketegangan Amerika-China Semakin Meruncing

Ketegangan Amerika-China Semakin Meruncing

Pembuat dasar utama dunia mengakui ketegangan dagangan semakin teruk mendatangkan risiko kepada ekonomi global, selepas mesyuarat G20 membincangkan pertikaian antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Selepas 30 jam ‘berbincang’, semua menteri kewangan dan ketua bank pusat kumpulan negara 19 negara dan Kesatuan eropah (EU) itu mengeluarkan kenyataan mengakui pertumbuhan rendah dan risiko ekonomi meleset.

“Apa yang lebih penting, ketegangan perdagangan dan geopolitik semakin meruncing,” menurut kenyataan G20 sambil menambah mereka bersedia untuk mengambil tindakan, jika perlu.

Sebagai sebahagian daripada kompromi dengan Washington, kenyataan itu mengeluarkan perkataan daripada draf terdahulu yang menyebut ‘keperluan mendesak menyelesaikan ketegangan dagangan’.

Kenyataan itu mengakhiri perbincangan selama dua hari di bandar Fukuoka, barat Jepun yang turut membincangkan isu cukai syarikat internet gergasi dan julung kalinya mengenai cabaran ekonomi akibat penduduk semakin berusia.

Bagaimanapun, pertikaian perdagangan menjadi tumpuan pembuat dasar, ketika AS dan China terus mengancam satu sama lain dengan tarif yang rata-rata ahli ekonomi bimbang menjejaskan pertumbuhan ekonomi dunia.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berkata, tarif AS atau China akan mengurangkan pertumbuhan dunia kira-kira AS$455 bilion (RM1.88 trilion) sambil menekankan keperluan menyelesaikan pertikaian untuk mengelak ekonomi global terjerumus dalam satu lagi krisis. – AFP

Leave a Reply

Top