MH Online

Laman Suara Rakyat

Kesemua 220 Ahli Parlimen Akan Hadir Sidang Khas Dewan Rakyat

Kesemua 220 Ahli Parlimen Akan Hadir Sidang Khas Dewan Rakyat

KUALA LUMUR, Seramai 220 Ahli Parlimen akan menghadiri sidang khas Dewan Rakyat Isnin ini iaitu persidangan pertama bagi tahun ini selepas ditangguhkan ekoran perisytiharan darurat di seluruh negara sejak 12 Januari lalu serta kebimbangan pandemik COVID-19 yang masih belum reda.

Berlangsung selama lima hari, semua Ahli Parlimen dibenar hadir ke Parlimen bagi mendengar penerangan, mengajukan soalan dan membahaskan beberapa perkara berkaitan Proklamasi Darurat dan langkah kerajaan menangani pandemik COVID-19.

Berdasarkan aturan mesyuarat yang sudah diedarkan kepada semua Ahli Parlimen, persidangan esok yang bermula jam 10 pagi, dimulai dengan sesi penerangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin diikuti empat menteri yang terbabit dalam pengurusan COVID-19.

Selepas Muhyiddin selesai menyampaikan penerangan berkenaan Pelan Pemulihan Negara (PPN), ia diikuti sesi sama oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang akan menerangkan tindakan negara menangani pandemik COVID-19.

Kemudian, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin pula akan memberi penerangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), manakala Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan menyentuh mengenai pakej bantuan ekonomi.

Mengambil giliran terakhir, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, akan memberi penerangan berkaitan pelaksanaan darurat.

Selesai sesi penerangan ringkas itu, semua Ahli Parlimen diberi peluang mencelah bagi meminta penjelasan dan memberi pandangan mengenai perkara dibangkitkan Perdana Menteri dan menteri, sebelum dijawab mereka.

Berdasarkan aturan mesyuarat itu juga, selesai sesi penerangan itu, pembentangan Proklamasi Darurat dan ordinan lain diperkenalkan sepanjang tempoh darurat turut dibentang Isnin ini.

Antaranya, Proklamasi Darurat yang melalui beberapa pindaannya, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu); Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (pindaan) 2021 serta Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja)(pindaan) 2021.

Biarpun jaminan kehadiran diberi kepada semua Ahli Parlimen untuk berada di Parlimen, namun mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat antaranya menjaga penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dua lapis selain sudah memperoleh keputusan negatif bagi ujian saringan COVID-19.

SOP itu bukan saja tertakluk kepada mereka, malah diperluas membabitkan petugas Parlimen dan 72 pengamal media yang mewakili 15 agensi media tempatan.

Bagi melancarkan tugasan liputan pihak media, Parlimen akan memperkenal dan menyediakan kemudahan platform sidang media secara hibrid serta sesi temu bual interaktif secara eksklusif dengan ahli Dewan Rakyat melalui aplikasi Zoom.

Persidangan khas Parlimen adalah mesyuarat yang diadakan ketika Majlis dalam tangguhan dan mengikut Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat Peraturan 11 (3) urusan mesyuarat itu perlu ditetapkan Perdana Menteri dan pemberitahuan berkenaan urusan itu perlu dihantar kepada ahli tidak lewat dari masa diadakan mesyuarat itu.

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 itu juga berbeza dengan mesyuarat penggal biasa antaranya tanpa istiadat pembukaan oleh Yang di-Pertuan Agong, perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) dan sesi soal jawab lisan.

Sidang khas Parlimen sebelum ini pernah diadakan antaranya berkenaan isu Gaza pada 12 Januari 2009, isu penerbangan MH17 pada 23 Julai 2014 dan Isu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) pada 26 dan 27 Januari 2016.

Pada 5 Julai lalu, kerajaan bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya persidangan khas Dewan Rakyat bagi penggal ketiga diadakan lima hari pada 26, 27, 28 dan 29 Julai serta 2 Ogos, manakala sidang Dewan Negara ditetapkan pada 3 hingga 5 Ogos.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataannya pula, memaklumkan mesyuarat pertama Dewan Rakyat bagi penggal keempat Parlimen ke-14 tahun ini diadakan selama 15 hari bermula 6 hingga 30 September ini.

Mesyuarat kedua Dewan Rakyat bagi penggal keempat pula akan diadakan 32 hari bermula 25 Oktober hingga 16 Disember, dengan tumpuan persidangan ketika itu adalah berkaitan pembentangan dan perbahasan RUU Perbekalan 2022 atau Belanjawan 2022.