MH Online

Laman Suara Rakyat

Keselamatan Jemaah Umrah Malaysia Jadi Keutamaan

Keselamatan Jemaah Umrah Malaysia Jadi Keutamaan

KUALA LUMPUR, Kementerian Luar Negeri (KLN) dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan mendapatkan khidmat nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memastikan rakyat negara ini dapat menunaikan umrah di Makkah.

Dalam kenyataan bersama, Menteri KLN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kerajaan akan melakukan yang terbaik demi kepentingan rakyat Malaysia khususnya jemaah umrah yang bakal ke Tanah Suci kelak.

“Bagi kerajaan, keselamatan dan kesihatan jemaah umrah Malaysia merupakan keutamaan tertinggi,” katanya.

Menurut mereka, kerajaan akan terus memantau situasi koronavirus (Covid-19) khususnya di Malaysia serta meneliti dari masa ke masa prosedur operasi standard (SOP) ibadah umrah yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

“Malaysia amat menyambut baik keputusan kerajaan Arab Saudi baru-baru ini yang memberi kebenaran kepada jemaah luar negara mengerjakan ibadah umrah selama 10 hari dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” katanya.

Ahad lalu, 10,000 jemaah antarabangsa yang merupakan kumpulan pertama tiba di Arab Saudi selepas memberi kebenaran terhadap umat Islam berumur 18 hingga 50 tahun menunaikan ibadat itu.

Jemaah hanya dibenarkan berada di Tanah Suci itu selama 10 hari termasuk tempoh tiga hari kuarantin.