MH Online

Laman Suara Rakyat

Kes JE Dikesan Di Pontian

Kes JE Dikesan Di Pontian

JOHOR BAHRU, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pontian menerima laporan satu kes Japanese Encephalitis (JE) membabitkan seorang lelaki warganegara Bangladesh di daerah itu, pada Rabu lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Aman Rabu, berkata pesakit itu dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, pada 21 Mei kerana mengalami demam dan simptom radang otak.

Beliau berkata, pesakit itu kemudian dirawat sebagai kes ‘meningeal encephalitis’ dan seterusnya dibenarkan pulang dalam keadaan sihat pada 3 Jun lalu.

Namun, katanya laporan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan kemudian mengesahkan mangsa menghidap penyakit JE.

“Susulan itu, PKD Pontian membuat siasatan kes di lapangan. Pesakit adalah pekerja di sebuah kilang membuat bahan binaan di Ulu Choh di Pontian.

“Aktiviti pengesanan kes aktif di lokasi tempat tinggal dan kerja pesakit itu termasuk pencarian kes di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta berdekatan, dijalankan dengan seramai 390 orang disaring untuk gejala JE iaitu demam, sakit kepala, kekejangan leher, lemah otot atau sawan,” katanya.

Dr Aman berkata hasil saringan bagaimanapun tidak mengesan kes baharu dan sehubungan itu, kes disifatkan kejadian sporadik.

“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk terus mencari punca JE di sekitar kawasan itu. Bagi mengurangkan risiko jangkitan, masyarakat di kawasan ini dinasihatkan mengelak aktiviti luar rumah pada waktu malam, menggunakan ‘repelen’ dan memakai pakaian berlengan panjang serta seluar panjang ketika di luar rumah untuk mencegah gigitan nyamuk.

“Selain itu, mereka dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan sekiranya mengalami demam dan radang otak,” katanya.